Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mainan dan berseronok-seronok, dan hari akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Apakah kamu tidak memikirkannya?
(Al-An’aam: 32)
.
Keadaan di dalam kelas tiba-tiba menjadi sepi seketika. Semua mata dan telinga pelajar tertumpu sepenuhnya kepada kata-kata seorang ustaz.
.
Mukanya yang putih dan penuh senyuman ketika memulai kelas sebentar tadi kelihatan agak sebak. Matanya berkaca menunggu titisan air dari kelopaknya. Suaranya beransur perlahan.
.
“Selamatkah kita di dalam kubur nanti?”
.
Persoalan yang dikupas begitu menarik. Seorang ustaz yang begitu ceria sebelum ini dengan gurauannya, dengan aksi mukanya, hari itu merentap hati pelajar di hadapannya untuk berfikir hakikat kehidupan yang sebenarnya.
.
Ustaz itu menceritakan bahawa hidup di dunia yang penuh dengan pelbagai dugaan pada hari ini kadang-kadang menjadikan kita lalai dan lupa bahawa ianya hanyalah sementara. Diibaratkan di dalam hadis kehidupan ini seolah-olah seorang pedagang atau pengembara yang hanya singgah seketika di dunia.
.
Bagaimana mungkin seorang pengembara yang sedang mengembara mensia-siakan waktu untuk mengumpul bekalan bagi perjalanannya yang masih panjang. Tertipu dengan keindahan tempat persinggahannya itu sehingga lalai tanggungjawabnya yang sebenar.
.
Adakah jalan yang lebih baik dari taubat?
.
Termenung aku di dalam sebuah kenderaan yang aku naiki untuk pulang ke rumah.
.
Semoga pendahuluan yang tak seberapa ini menjentik naluri kita untuk beribadat dan berterima kasih kepada Allah atas nikmat-nikmatnya.
.
Hari ini 19 April 2010 bersamaan dengan hari ke 98 aku berada di Syria. Aku tak akan bercerita mengenai tempat atau kawasan bersejarah pada kali ini. Tapi episod kali ini akan membawa anda semua untuk mengetahui pengangkutan yang digunakan untuk bergerak ke tempat tertentu di sekitar Damsyik.
(ayat macam Majalah3 la kunun)
.
Service
.
Gambar di atas ini menunjukan sebuah van yang di panggil service di sini. Kebanyakan penduduk di sini menggunakannya. Jalan raya kelihatan sangat meriah dengan aksi cilok dan alunan bunyi hon dari kenderaan ini. Ianya lebih senang didapati berbanding bas yang bersifat agak minoriti.
.
Pengangkutan Awam
.
Hanya berpandukan nama atau warna yang dipaparkan di atas bumbung service itu kita boleh menaikinya dan turun di mana sahaja sepanjang perjalanannya itu. Aku lebih suka untuk memilih tempat duduk di hadapan apabila menaikinya. Kaki akan terasa seperti menekan brek walaupun aku hanyalah seorang penumpang. Mulut pemandunya pula kadang kala memberi perkataan cacian terbaru untuk dipelajari.
.
.
Bas hijau tu pula seperti bas-bas lain di Malaysia, cuma tiada loceng disediakan untuk berhenti. Mungkin terpaksa menjerit ketika bas yang kita naiki itu penuh. Sangat tidak menarik. Tambangnya sama seperti menaiki service. Aku menaikinya untuk ke tempat tertentu sahaja.
.
terkunci rapi
.
.
Jika di Malaysia jalan rayanya dipenuhi oleh mat-mat rempit, keadaan di sini berbeda sekali. Tiada istilah merempit atau lumba motor secara haram. Mat skuter lagi la tak jumpa. Mungkin penduduk di sini masih selesa menggunakan basikal tua mereka.
.
basikal cas
.
Bagi yang sukakan kelajuan, enjin yang bunyinya agak sama seperti mesin rumput akan dipasang pada basikal tua itu. Agak layan muka mereka ketika memecutnya. Bagi mereka yang agak moden pula akan memilih untuk membeli basikal cas yang laju dan tiada bunyi. Mereka hanya perlu mengecasnya sahaja untuk perjalanan yang selesa. Jika tidak di cas kayuhan kaki terpaksa dilakukan.
.
di sebalik basikal tu
.
Jarang aku nampak motor dalam gambar atas ni bersiar-siar di jalan raya. Helmet pun kerajaan sini tak sempat nak buat akta lagi kot.
.
Jika hendak melihat motor yang lebih selesa, motor polis trafik lah yang paling hebat. Kuda putih mereka seakan-akan kuda putih yang sudah berumur 80 tahun. Adus kesian. Sesuai la untuk kejar mat basikal.
.
.
Tapi secara keseluruhannya jangan dipandang remeh penduduk Syria ni. Kereta yang mereka gunakan lebih hebat berbanding kereta di Malaysia. Pelbagai kereta antik boleh didapati di sini, apatah lagi kereta keluaran terbaru. Mungkin cikgu kelas memandu mereka sahaja yang tak sempat ajar cara dan tempat parking yang sesuai. Aspek penjagaan kereta juga perlu diajarkan kepada mereka supaya kereta evo atau skyline tidak dilenjan seperti menaiki trak askar.
.
Pandu dan tungganglah dengan cermat. Semoga menjadi rakyat Malaysia yang sentiasa bersyukur.
.
.
Menaip di tepi jendela sambil memerhatikan kenderaan yang pelbagai memenuhi jalan raya lalu terlintas di fikiran, dah lama aku tak naik motor …….sabar lah Mohd Shazni….
.
Misi Rahmatan lil Alamin.