update.
sumber: http://genta-rasa.com/
.
Pernah saya katakan, kita akan diuji melalui apa yang kita sayangi dan dengan apa yang selalu kita katakan. Inilah hakikat yang saya alami semasa cuba berdakwah dalam rangka untuk mendidik diri disamping mendidik orang lain. Saya cuba memujuk hati dengan berkata, “ketika Allah menguji kita dengan apa yang kita sering dakwahkan kepada orang lain, itu petanda Allah mengingatkan kita ketika kita mengingatkan orang lain.” Agar kita tidak memperkatakan apa yang tidak amalkan…
Namun, suara hati juga mengingatkan, supaya terus melakukan kebaikan (berdakwah)… bukan kerana kita sudah baik tetapi itulah cara kita hendak menjadi orang yang baik. Ya Allah, berilah petunjuk kepada kebimbangan hati ini… kerana ujian di jalan dakwah ini kekadang dirasakan terlalu berat berbanding iman yang begitu tipis. Hati sering dipujuk untuk mengakui satu hakikat: Allah tidak akan menguji di luar kemampuan seorang hamba untuk menghadapinya.
Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku, aku sedang diuji. Begitu juga dengan kamu, dan kita semua. Lalu untuk memujuk hati ketika menerima tarbiah Ilahi ini saya nukilkan tulisan ini untuk saya dan kita semuanya… Tajuknya: ALL IS WELL – semuanya baik belaka.
“Ustaz kata kecemerlangan dunia itu bayangan kecemerlangan akhirat?”
“Ya, “akui saya pendek.
“Atas dasar apa?”
“Berdasarkan kata Imam Syafei, dunia itu adalah tanaman untuk akhirat.”
“Maksudnya?”
“Dunia tempat kita menyemai, akhirat tempat kita menuai. Jika kita hendak merasai buah yang manis dan banyak , sudah sewajarnya pokok yang kita tanam baik dan subur.”
“Saya belum faham…”
Saya merenung wajah pelajar yang sebaya dengan anak saya itu. Dia benar-benar inginkan penjelasan. Terasa masih jauh pendekatan dakwah saya berbanding ulama-ulama silam – yang bercakap dengan jelas, tepat dan lemah lembut.
“Begini nak… jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang.”
“Kalau begitu malanglah kalau kita jadi orang miskin, pekerjaan kita buruh, pangkat kita rendah dan kita jadi orang yang biasa-biasa sahaja di dunia.”
“Mengapa begitu?” saya bertanya kehairanan.
“Ya, bukankah orang miskin, marhein dan orang yang biasa-biasa itu dianggap tidak cemerlang di dunia?”
Saya mengurut dada. Mujur dia bertanya.
“Perspektif Islam mengenai kejayaan berbeza dengan takrifan majoriti masyarakat hari ini. Menjadi miskin, seorang buruh dan marhein setelah berusaha bersungguh-sungguh, bukan bererti gagal. Itu hanya ujian dalam kehidupan.”
Di dalam hati saya bertekad ingin menjelaskan konsep hidup di dunia sebagai ujian terlebih dahulu. Setelah itu baru saya ingin menerangkan erti kejayaan dalam Islam. Ya, lulus ujian baru berjaya.
“Apa maksud dengan ujian kehidupan?” tanyanya lagi. Alhamdulillah, dia membuka ruang untuk saya memberi penjelasan. Memang benar seperti yang selalu dikatakan, pertanyaan itu kunci kepada ilmu.
“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk, ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.”
“Ujian untuk apa ustaz?”
“Ujian sama ada kita mengingati-Nya atau tidak, mentaatinya atau tidak, “ jawab saya.
Melihat dia terdiam, saya menyambung penjelasan, “ orang miskin boleh berjaya jika dalam miskinnya dia mengingati Allah dengan kesabarannya. Orang kaya, mengingati Allah dengan kesyukurannya. Yang berkuasa, menegakkan keadilan kerana Allah. Yang marhein, patuh dan setia kerana Allah juga. Situasi dan kondisi yang kita hadapi dan alami bukan penentu kejayaan kita tetapi respons kita terhadap kondidi itu yang lebih penting. Apakah kita bertindak balas dengan apa yang kita hadapi seperti selayaknya seorang hamba Allah? Seorang hamba Allah sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan, positif mahupun positif…”
“Maksudnya, yang negatif pun jadi positif?”
“Ya, semuanya baik, bergantung pada tindak-balas diri kita. ‘All is well’ – semuanya baik. Ya, semua yang datang dari Allah adalah baik belaka kerana semua itu hanya ujian buat kita. Jika kita menghadapinya dengan hati yang sabar, syukur atau redha… ya kita berjaya!”
“Jadi ada orang kaya, berkuasa dan ternama di dunia ini boleh dianggap gagal?”
“Bukan boleh dianggap gagal tetapi mereka memang gagal. Sekiranya dengan ujian kesenangan, kekuasaan, kenamaan dan kecantikan itu mereka tidak bersuyukur, zalim, kufur, malah takbur kepada Allah dan sesama manusia. Sebaliknya orang miskin, marhein dan melarat itu hakikatnya berjaya sekiranya mereka mengingati Allah dalam kesabarannya.”
“Tetapi kalau mereka miskin kerana malas… tidak gigih mencari ilmu, menambah kemahiran dan ilmu, lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh dikatakan berjaya?”
Kritikal betul cara berfikir pelajar ni, bisik hati saya.
“Orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif. Orang yang ingat Allah, akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di dunia…”
“Orang yang ingat akhirat akan sibuk di dunia?”
“Ya, sebab dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia akan sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi, menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi… Begitulah orang yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.”
“ Agaknya inilah yang dimaksudkan orang yang paling bijak ialah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya…”
“Benar. Benar sekali. Sebaliknya, sipemalas ialah orang yang dungu, bukan orang yang sabar. Dia tidak akan dapat pahala sabar… sebaliknya mendapat dosa kerana kemalasannya.”
“Malas itu satu dosa?”
“Ya, malas itu satu dosa. Cara bertaubat dari dosa malas ialah dengan gigih bekerja. Kita adalah khalifah di muka bumi. Seorang khalifah wajib memberi kebaikan kepada diri, orang di sekelilingnya dan alam seketiranya. Untuk itu dia mesti rajin. Bagaimana seorang pemalas boleh melaksanakan tugasnya sebagai khalifah?”
Saya teringat khutbah yang baru saya dengar bulan lalu. Yang boleh saya simpulkan daripada kata khatib itu ialah, keadaan yang kita hadapi atau apa yang kita miliki, bukan pengukur kejayaan kita. Sebaliknya, kejayaan kita terletak kepada sejauh mana diri kita mengingati Allah ketika memiliki sesuatu atau semasa kita menghadapi suatu situasi.
Akan saya sampaikan semula apa yang saya terima kepada pelajar itu, insyaAllah. Ya, saya masih ingat ketika khatib itu menegaskan:” Kejayaan Nabi Ibrahim AS bukan kerana baginda tidak terjejas oleh api yang dinyalakan oleh Namrud tetapi kerana ketika di dalam nyalaan api itu Nabi Ibrahim mengingati Allah, kerana kalau kejayaan itu diukur pada tidak terjejas jasad baginda oleh api, apakah kita mengatakan bahawa ‘ashabul ukhdud’ yang terbakar kerana mempertahankan tauhid itu tidak berjaya? Apakah Masyitah dan anaknya yang terkorban apabila dihumban ke dalam api oleh Firaun itu tidak berjaya? “
Khatib itu menambah lagi:” Jika kita katakan, kejayaan itu kepada keadaan Nabi Ismail yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan digantikan dengan seekor kibyas… apakah Nabi Zakaria AS yang syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah itu tidak berjaya? Apakah Sumayyah yang mati ditusuk lembing oleh kafir Quraisy itu tidak berjaya?”
Tanpa disedari air mata mengalir apabila Khatib itu berkata, “tuan-tuan, Nabi Ibrahim, Nabi Zakaria, Sumayyah dan Asyhabul Ukhdud semuanya berjaya… walaupun situasi ujian yang mereka hadapi berbeza. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan bukan situasi tetapi respons hati mereka ketika menghadapi situasi itu. Respons hati mereka tetap sama, walaupun situasi yang mereka hadapi berbeza.”
“Respons hati mereka hanya mengingati Allah,” ujar pelajar itu.
“Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan kita. Yang sabar dan syukur, jadi mulia… lalu mereka berjaya. Yang putus asa dan takbur, jadi hina… lalu mereka gagal. Sering diungkapkan oleh bijak-pandai, jika dapat limau manis, bersyukurlah. Sebaliknya jika dapat limau masam, jangan kecewa… buatlah air limau!”
“Jadi berjaya di dunia itu letaknya pada hati?” rumus pelajar yang bijak itu.
“Ya. Terletak pada ‘qalbun salim’ – hati yang sejahtera. Hati yang boleh dimiliki oleh sikaya, simiskin, ternama, marhein, sicantik, yang hodoh, pemerintah mahupun rakyat. Hati itulah yang dinilai oleh Allah di Padang Mahsyar kelak ketika semua anak-pinak dan harta-benda tidak berguna lagi…”
Saya menambah lagi,“ Hati yang ingat Allah pada setiap masa, ketika dan keadaan apa pun jua. Itulah kejayaan! Allah Maha adil tidak meletakkan kejayaan kepada yang lain kerana ujian hidup manusia yang ditakdirkan berbeza-beza. Namun berbeza-beza ujian itu matlamatnya sama… sejauh mana kita merasakan kita hamba Allah dan kepadaNya kita akan dikembalikan!”
“Bukankah itu makna ucapan istirja’ – innalillah wa in na ilaihi rajiun? – kami milik Allah, kepadaNya kami akan kembali,” balas pelajar itu.
Saya mengangguk perlahan, seraya berkata, “hati itulah anakku… yang perlu kita miliki sebelum kembali. Itulah ‘syurga’ di hati kita. Itulah kecemerlangan di dunia yang menjadi petanda kecemerlangan akhirat. Jika di hati kita belum ada syurga itu ketika hidup di dunia… maka sukarlah kita mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat nanti!”
“Apa yang perlu kita lakukan ustaz?”
Saya terdiam. Di dalam hati terlalu sebak. Masih jauh hati ini dengan ‘syurga’ dunia. Dan alangkah jauhnya dengan syurga akhirat.
“Anakku, kita akan terus diuji. Beruntunglah kerana ujian ini masih ada. Allah masih sudi menguji kita. Hidup masih berbaki. Kalau gagal, kita masih berpeluang untuk mengulang. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia… kerana ada ‘syurga’ di sini, yang wajib kita miliki sebelum layak menikmati syurga di sana.”
“Syurga di hati kita…”
“Yang ditempa oleh setiap hamba Allah yang sejati… dengan keringat, dengan air mata dan sesetengahnya dengan darah. “
“Hidup di dunia untuk menderita?”
“Tidak anakku… hidup di dunia untuk diuji. Kita akan tenang, berjaya dan bahagia selagi Allah ada di hati kita. Ingat, ‘all is well’, kerana semuanya dari Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Bila diuji, jangan katakan.” ya Allah, ujian-Mu sangat besar. Tetapi katakan, wahai ujian, aku ada Allah yang Maha besar.”
‘Allah is bigger than your problems… insyaAllah, all is well!’ . Tetap adalah lautan kasihNya di sebalik ujianNya yang setitis.
Ada Hati
Kecil hati
Takda Hati
Kesian
………..
“Pernah diungkapkan, tidak mengapa jika kaki mu yang sakit, asalkan hati mu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit kita akan kehilangan tujuan dan harapan. ” -UPMJ
Alhamdulillah…selamat tiba di tanah air.
.
“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran”. Abu Firas al-‘Amiri
aku bukanlah petah berbicara bahasa Inggeris.
bukan juga fasih berbahasa arab.
berani untuk keseorangan jauh sekali.
tapi…
semua itu bukan penghalang.
untuk aku menerjah bumi barat.
meneroka bumi anbiya’.
merentas lautan.
kerana aku yakin.
Dia sentiasa menemaniku bersama!
.
“Dan mereka menjawab cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung”
(surah ali-imran, ayat 173)
.
.
[SELAMAT HARI ULANGTAHUN MOHD SHAZNI ABDULLAH]
terima kasih mama&abah!
Alhamdulillah.
.
Alhamdulillah…
Perjalanan selama 8 jam selamat disempurnakan. Tiba di Geraldton disambut dengan hujan rintik-rintik membasahi bumi.
Kali ini biar gambar sahaja yang bercerita. Kecapekan untuk menaip~
.
kesejukan luar biasa
.
sepetang di sini
.
.
Misi menziarahi komuniti masyarakat melayu di sini tidak jauh bezanya. Masyarakat melayu Pulau Cocos masih menguasai kawasan-kawasan terpencil begini. Masjid didirikan oleh mereka ini sejak tahun 1989 menjadi hikmah penghijrahan mereka ke tanah besar Australia.
.
Sangat teliti perancangan penyebaran agama Allah!
Aku difahamkan masyarakat melayu di sini hampir 400 penduduk. Kebanyakan mereka bekerja sebagai penyembelih di ladang-ladang dan juga bekerja dalam industri perkilangan.
.
.
Islamic Association of Geraldton menyambut aku dengan tangan yang terbuka. Pelbagai perkongsian menarik bersama mereka walaupun baru bersua. Ruang-ruang kerjasama dakwah lebih terbuka. Terasa seperti Dia membuka jalan yang luas untuk kami. Hikmah kembara. AllahuAkbar!
Akan aku kongsikan nanti..InsyaAllah.
.
Allah mengeratkan lagi hubungan kami dengan pelbagai aktiviti. Hobi ketika di Pulau Cocos dulu masih tidak dapat dipadamkan. Kali ini memancing ikan bersama tuan Imam. Sangat menajubkan pengalaman sebegini. Bukan kerana cucu imam yang kelihatan seperti maya karin itu turut bersama, tetapi perkongsian perjalanan sejarah masyarakat Islam bermula di sini dikongsikan tanpa jemu. Pak Imam yang osem!
.
Alhamdulillah.
.
Pak Imam menyarankan aku terus bergerak selepas ini menuju ke Port Headland. Tempat yang lebih awal masyarakat melayunya bertapak.
Mudah-mudahan.
“asyik naik je, bila nak turun-turun ni….” [sabar ye] :p
.
Misi Rahmatan lil Alamin
10 Oktober 2012
.
Suhu di Katanning pagi itu aku anggarkan dalam 10 darjah celcius. Menggigil juga mulut untuk membaca doa qunut.Baju yang dipakai berlapis lapis juga seakan tidak mahu memberi kerjasama yang sebaiknya.
Benarlah kata dyll, orang kurus macam aku ni memang tak akan tahan sejuk. :tipu:
.
Katanning merupakan sebuah pecan kecil yang dihuni hampir 500 orang masyarakat melayu yang berasal dari Pulau Cocos. Juga terdapat beberapa orang melayu yang berkahwin dengan masyarakat cocos berasal dari Indonesia, Singapura dan juga Malaysia.
Komuniti lain yang tinggal di sini seperti biasa, mat saleh, mat hitam, mat cina, mat Burma, dan lain-lain yang hanya kecil jumlahnya. Kawasan ini masih didominasi oleh masyarakat orang putih tempatan. Mengikut perangkaan jumlah penduduk di sini, aku difahamkan mencecah hampir 5000 orang sahaja.
Masyarakat melayu yang berasal dari Pulau Cocos ini kebanyakannya sudah menetap di sini hampir 40 tahun dan lebih. Tetapi hubungan mereka bersama masyarakat di pulau masih erat. Bahasa, adat dan juga cara hidup tidak lari jauh dengan suasana di cocos, cuma jarak rumah dan juga luas daratan yang membedakannya.
Tak hairan lah jika ketika aku di masjid ada orang dari sini yang menegur aku kerana dia hanya menonton video khutbah hari raya yang aku bacakan. Video sambutan hari raya di Pulau Cocos dahulu juga sudah tersebar di sini. Sangat kuat ingatan mereka.
.
Sebuah masjid tersergam indah di Katanning. Ini juga hasil tangan masyarakat melayu cocos yang tinggal di sini. Sangat teruja apabila melihat papan tanda perasmian masjid itu yang disempurnakan pada tahun 1981 oleh Allayarham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia!
.
.
Terdapat juga sebuah madrasah di belakang masjid ini yang digunakan sebagai kelas pengajian anak-anak masyarakat melayu setiap kali hujung minggu. Penggunaan bahasa melayu cocos masih menjadi bahasa utama di sini. Walaubagaimanapun anak-anak melayu di sini sudah tidak lagi bertutur bahasa melayu bersama ibu bapa mereka. Mereka masih memahami bahasa melayu tetapi tidak mampu menjawab dengan baik. Maka berlakulah perbualan unik antara hang tuah dan Robin Hood.
.
Terdapat golongan veteran di sini yang sudah risau memikirkan nasib bahasa melayu cocos suatu hari nanti. Adakah mampu anak cucu mereka sekarang yang berhidung penyet mampu bertutur bahasa melayu.
Kesempatan yang ada di Katanning aku gunakan sebaiknya untuk memastikan segala niat dan tujuan asal ziarah ini berjaya dilaksanakan.
Alhamdulillah.
.
Berpeluang untuk duduk berbincang bersama Prsiden Persatuan Islam Melayu Katanning, Haji Aqli di rumahnya membuka beberapa ruang dakwah untuk difikirkan bersama. Pertemuan bersama Imam masjid dan juga ustaz madrasah yang berasal dari Sabah itu juga memberi suntikan semangat untuk aku dan mereka sama-sama berjuang.
Bagi merapatkan lagi persaudaraan seperti biasa, aku menziarahi golongan-golongan nenek yang uzur di rumah mereka, mengikut aktiviti memburu burung, menyembelih kambing biri-biri dan lain-lain lagi.
.
Semoga Allah mengikat hati dan permudahkan urusan kami. Amin…
: akan bergerak lagi esok meninggalkan Kataning menuju ke Geraldton. 8 jam jarak perjalanan.
.
Misi Rahmatan lil Alamin
6 Oktober 2012
Pesawat Virgin Blue Australia yang membawa aku selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Perth, Australia. Perjalanan yang mengambil masa hampir 4 jam itu terasa begitu pantas sekali bila fikiran melayang mengenangkan suka duka di Pulau Cocos. Masih terbayang lambaian mereka dari suatu sudut ketika aku mula melangkah kaki naik ke feri. Cuaca mendung di atas menambahkan lagi kesayuan. Dakapan dari mereka membuatkan aku tak mampu menahan air mata. Nenek-nenek dan ibu-ibu sudah lama mengesat air mata.
Ya Allah, berilah peluang aku bersama mereka lagi. InsyaAllah.
Setelah bermalam di Perth, pagi esoknya aku terus dibawa untuk menuju ke Katanning.
Katanning merupakan sebuah pekan kecil yang terletak 300km dari Perth. Perjalanan yang memakan masa 3 jam itu dihiasi dengan pelbagai pemandangan yang sangat indah. Kebun sayuran, ladang-ladang haiwan ternakan dan juga hutan-hutan. Jalannya yang sangat lurus menyebabkan pemandu kadang kala akan merasa bosan menekan minyak. Jika waktu malam aku difahamkan jarang ada kenderaan yang akan keluar disebabkan banyaknya kangroo yang akan melintas memburu lampu kereta. Akibatnya kemalangan dengan kangroo. Bunyinya seperti ‘sweet’ gitu tetapi padahnya sangat teruk kerana kangroo binatang yang minum milo! Maksud aku ia binatang yang kuat!
.
.
Saat hampir tibanya ke tempat yang dituju kelihatan begitu luas padang ragut. Kambing biri-biri kelihatan di sana sini. Ini memang kawasan mereka. Pekan kecil Katanning menyimpan sejarah sejak dahulu kala menjadi pengedar kambing halal yang sangat maju. Kadang-kala kereta juga terpaksa diberhentikan seketika untuk memberi laluan kepada golongan kambing yang berdemo di jalanan.
.
.
aku yakin, tiqun pasti suka! hoho
Esok aku akan mulakan misi untuk membuat beberapa pertemuan melihat ruang-ruang dakwah di sini. Moga di permudahkan.
.
Misi Rahmatan lil Alamin
Usai majlis perpisahan malam tadi.
Hujan renyai mula membasahi bumi saat memulakan suapan juadah.
Seluruh penduduk memenuhi perkarangan masjid.
Terima kasih semua.
[tak terungkap]
~
:bergerak menuju ke Perth! Good Day Mate!