[BEBELAN KELIMA] -cocos island-

18 Ogos 2012

Selesai meguruskan hal kematian aku terus balik ke rumah untuk bersiap-siap pula untuk doa selamat.

Hari terakhir puasa di sini dinamakan hari tebus puasa. Memang agak pelik bunyinya. Selepas sahaja solat Zohor Haji Adam akan mengepalai bacaan doa selamat.

Hari ini agak istimewa. Pulut kuning bersama ayam panggang lengkap diletakkan di tengah bulatan jemaah masjid untuk dibacakan doa selamat. Terliur juga dibuatnya. Tengah-tengah hari dah terhidang ayam panggang!

Selepas selesai doa selamat, pulut kuning itu akan dibahagikan kepada jemaah yang hadir. Selepas itu semua kami dijemput untuk pergi ke rumah-rumah yang sudah bersedia untuk dibacakan doa selamat.

Kanak-kanak di luar hanya menanti di luar rumah dengan memegang beg masing-masing. Aku hanya memerhatikan untuk menanti apa yang akan berlaku. Ucapan dari pengerusi majlis rupanya sangat panjang. Dia akan menyebut segala permintaan dari tuan rumah untuk dibacakan doa. Aku melihat tuan rumah berbisik di belakang pengerusi majlis. Rupanya itulah permintaan yang perlu disebut dan disambut ‘insyaAllah’ oleh Haji Adam.

Seperti contoh : “Haji…si polan minta supaya didoakan dia dan keluarganya dan juga kenderaannya dan juga sekolah anaknya dan juga kapalnya dan juga ayamnya dan juga itiknya dan bla bla blab la……” boleh bayang tak betapa panjangnya permintaan. Dari diri sendiri kepada keluarga dan seterusnya semua yang berkenaan dalam hidup tuan rumah tersebut minta untuk didoa selamatkan!

Seperti biasa tuan rumah akan meletakkan juga pulut kuning dan juga pelbagai jajan di sekelilingnya untuk berkat.

Ketika doa dibacakan dahi terkerut juga mendengar Haji Adam menyebut nama Syeikh Qadir, Syeikh Abas dan bermacam macam lagi…tawasul rupanya.

Aku hanya terdiam melihat gelagat adat budaya mereka.

Selesai doa dibacakan semua makanan tadi akan dibahagikan juga. Kanak-kanak akan masuk menyerbu jajan yang sangat enak. Aku sempat mengambil coklat Cadbury dan juga keropok ring-ring! Hehe..cukuplah…

Itu baru sebuah rumah. Kalau sepuluh buah rumah? Patut lah kanak-kanak tadi membawa beg. Pulangnya nanti seolah olah baru balik membeli belah jajan di Giant Batu Cave lagaknya. Fuhh…meriah..

Malam raya menjelang.

Tiada dentuman mercun di sini. Selesai makan selepas maghrib aku terus ke masjid. Ada takbir di sana. Kelihatan sudah ramai manusia di situ. Aku duduk di luar bersama atok-atok yang nakal tak mahu masuk bertakbir.

Tak pandai nak tutup takbir katanya. Takbir boleh, tapi ayat yang akhir tu tak hafal la pak ustat! Aku hanya tersenyum.

Air teh, kopi dan juga air tin tersedia di luar untuk diminum. Takbir di sini sebolehnya sehingga lewat pagi lagi bagus kata mereka.

Anak-anak kecil akan berkeliaran tanpa arah tujuan malam ini. Sudah menjadi kebiasaan di sini. Budaya mereka. Malam yang panjang di sini. Jam 7 suku sudah isyak.

Generasi berbeza, citarasa yang sama.

Jangan sampai terlepas sembahyang raya sudah la~

.

-Misi Rahmatan lil Alamin-

[BEBELAN KEEMPAT] -cocos island-

Bismillahirahmanirahim.

Tanggal 17 Ogos yang lalu, seusai sahaja menunaikan solat taraweh kami terus berjalan menuju ke rumah Nek Iman untuk makan-makan semperna kepulangan cucunya berhari raya di rumah.

Aku,man dan juga Pak Saliha iaitu kembar kepada Haji Adam yang juga baru tiba dari Kattening Australia tiba awal di rumah Nek Iman. Kami terus mengadap makanan yang terhidang. Perut berbunyi ketika taraweh tadi kerana hanya memakan kuih serabi yang Nek Kayak siapkan.

Sedang asyik menikmati juadah makanan, kami dikejutkan dengan berita Nek Lukman iaitu adik Nek Kayak  baru sahaja meninggal dunia akibat sakit dalaman – lelah.

Selepas selesai makan kami terus bergegas ke sana. Kelihatan sudah ramai penduduk membanjiri rumah Nek Lukman. Aku bersalam salaman dengan tetamu di luar dan terus masuk ke dalam rumah.

Sekumpulan penduduk sedang mengikis sesuatu di suatu sudut. Kayu cendana katanya. Jenazah diangkat dan dibaringkan di tengah laman. Tiada langsung kelihatan penduduk kampung yang datang membacakan Yasin. Semuanya sibuk dengan pelbagai urusan. Yang di luar sibuk berbicara. Yang di dalam sibuk dengan kayunya dan sibuk juga memotong kain kapan di depan mayat dengan pelbagai lawak jenaka. Seolah olah tiada apa yang berlaku. hmmm…

Aku berfikir sendirian. Adakah salah jika aku membuka Quran yang sedang ada di tangan untuk membacakan Yasin. Adakah adat penduduk di sini menganggap membaca Yasin ke atas jenazah itu suatu yang menjelekkan.

Aku memberanikan diri juga membuka Quran dan membacakan Yasin dengan perlahan di  sisi jenazah, membiarkan masyarakat yang lain yang ‘sibuk’ dengan hal masing-masing. Rupanya selepas itu ada seorang lagi datang membacakan Yasin dan akhirnya Azfar anak Haji Adam turut datang membacakan Yasin. Kemungkinan buta huruf menyebabkan mereka malu untuk membacakannya.

Hampir jam 10 aku di sana. Pulang keseorangan ke rumah seperti biasa. Tiada orang lagi di dalam rumah. Lampu tandas rosak! Gulp!

Keesokan harinya aku terlewat bangun. Buat pertama kali. Terus saja bersiap dan minum untuk sahur lalu pergi ke masjid untuk subuh. Selesai solat aku dan Pak Saliha terus menuju ke rumah arwah Nek Lukman untuk melihat perkembangan yang seterusnya.

Aku mengambil keputusan untuk duduk memerhatikan dari luar sahaja. Haji Adam melarang aku merakam sebarang gambar kerana majlis ini bersifat agak sensetif. Aku melihat beberapa orang sedang memotong buluh untuk membuat sesuatu. Rupanya mereka sedang menyiapkan payung untuk si mati. Payung yang dibuat dari buluh itu di balut dengan kain putih pada pemegangnya dan juga payungannya dari kain putih. Kecil dan ringkas tampaknya.

Aku hanya duduk berbual bersama penduduk kampung yang lain. Malas memikirkan apa yang mereka lakukan di dalam. Kerana masa yang diambil sangat lama untuk menyiapkan tempat mandi jenazah.

Tiba-tiba salah seorang anak arwah Nek Lukman keluar sambil teresak esak dan membuat pengumuman supaya semua hadirin berdoa kepada ayahnya kerana mereka akan memandikannya tak lama lagi.

Tiba-tiba aku terdengar seperti suara orang menangis yang kuat dari dalam rumah. Aku terus berjalan masuk ke dalam. Jenazah masih lagi ditempat yang sama malam tadi. Rupanya, ahli keluarga diminta memberikan penghormatan yang terakhir sebelum jenazah dimandikan. Cara ratapan yang keterlaluan dari kaum perempuan membuatkan keadaan kurang menyenangkan. Tapi mungkin begitulah adatnya di sini.

Selepas itu jenazah terus diangkat untuk dimandikan. Aku hanya duduk di ruang tamu melihat mereka menyiapkan kain kapan untuk jenazah. Masih juga tidak kelihatan Quran mahupun orang yang membacakan Yasin.

Suasana yang agak santai dan juga lawak-lawak dari mereka yang sedang menyiapkan kain kapan menyebabkan keadaan tidak terlalu suram dan ‘menakutkan’. Tapi inikan kematian, moga-moga diberi kefahaman. hmm..

Apabila jenazah sudah siap dimandikan dan terus di pembaringan kain kapan aku hanyat melihat dari sisi kaki arwah bagaimana mereka menguruskannya. Pelbagai gaya dan adat yang tersendiri seperti menggunakan kain ihram di dalam kapanan, meletakkan cermin di hadapan muka jenazah seolah olah dia sedang melihat ketika bersolek, meletakkan bunga di telinga jenazah dan juga menyelit sekuntum bunga di kain kapannya.

Setelah selesai, jenazah terus dimasukan dalam keranda usungan yang sudah tersedia. Keranda usungan itu sudah dibuat menggunakan aluminium. Aku difahamkan jika dahulu mereka masih lagi memegang adat bahawa keranda usungan itu perlu dari buluh. Mungkin pemikiran mereka sudah terbuka jadi mereka menerima keranda besi sebagai ganti!

Aku yang masih kaget pertama kali melihat jenazah dikafankan sedimikan rupa diarah untuk mengimamkan solat jenazah. Kain putih dibentangkan, duit syiling diletakkan di atasnya sebagai upah, dan hanya satu saf! Sedangkan masih ramai tetamu di luar yang mungkin mereka tidak tahu jenazah akan disembahyangkan.

Mungkin hanya boleh bersembahyang di atas kain putih itu sahaja mengikut fahaman mereka.

Menggigil lutut aku mengadap keranda jenazah. Bukan kerana takutkan jenazah tetapi dalam keadaan yang serba terkejut dengan adat-adatnya aku jadi ‘blur’ seketika.

Usai sahaja solat keranda tadi diusung keluar dan mereka memegangnya di luar rumah. Haji Adam membacakan fatihah kemudian merenjis beras kuning ke atas keranda! Gulp~ Sebelum keranda itu dimasukan ke dalam van, ahli keluarga jenazah diminta untuk membuat pusingan di bawah keranda jenazah seolah-olah sedang bermain ‘nenek si bongkok tiga’…aku di fahamkan dengan membuat begitu keluarga lebih mudah untuk terus melupakan si mati. Gulp kali ke dua!

Akhirnya semua bergerak menuju ke hujung sudut pulau iaitu tempat perkuburan Islam Pulau Cocos.

Beberapa cara pengurusan pengkebumian dilihat sangat berbeza dengan masyarakat Islam Malaysia. Ketika jenazah di masukkan kedalam kubur dan disambut oleh empat orang lelaki di dalamnya sehelai kain putih dibentangkan di atas lubang untuk melindungi dari orang ramai melihat mereka merungkai ikatan kain kafan.

Aku hanya mengintai di suatu sudut. Setelah tali kain kafan di rungkaikan dan jenazah diletakkan, salah seorang dari dalam kubur tadi akan mengazankan si mati. Azan Subuh! Kain putih masih lagi menaungi atas kuburan saat azan dilaungkan. Kelihatan juga sebungkus baju si mati turut di letakkan di hujung kepala si mati.

Dan akhirnya ditanam dan ditalkinkan seperti biasa.

Semua masyarakat pulang ke rumah masing-masing untuk menyiapkan persediaan terakhir untuk lebaran pada esok hari.

-Misi Rahmatan lil Alamin-

[BEBELAN KETIGA] -cocos island-

13 Ogos 2012

Matahari di luar dah makin tinggi. Jam baru menunjukan pukul 630 pagi. Hari ini sahur Nek Qayak masak nasi kosong dengan ayam goreng dan juga telur dadar.

Alhamdulillah.

Selesai tadarus di masjid tadi Nek Yazid datang berjumpa dengan aku. Nak bertanya soalan katanya. Aku hanya mengangguk dan terseyum. Dia bertanya mengenai anak bulan dan raya. Alhamdulillah nampak dia faham dan tenang menerima penjelasan dari aku.

Kami berbual seketika mengenai pengalamannya keluar tabligh. Pak Emma ketua tabligh di sini katanya. Mereka sudah banyak keluar ke Malaysia, Indonesia dan juga Bangladesh untuk ijtima’. Pak Emma juga seorang yang tak pernah tinggal kuliah yang aku kongsikan setiap malam.

Malam ini malam yang terakhir giliran aku imam taraweh yang aku kendalikan sejak malam ‘pasung’ yang lalu. Malam pasung adalah perayaan makan-makan seperti malam ketupat juga. Ia diadakan bermula malam ke 21 Ramadhan. Pasung ialah sejenis kuih yang dibuat dari tepung dan sagu. Bentuknya yang seperti ais krim koneto menunjukan bahawa Ramadhan sudah hampir ke penghujung. Ini merupakan adat orang di sini.

Masyarakat di sini akan membawa bekalan makanan untuk dihidang kepada seluruh hadirin yang hadir selepas solat taraweh. Pelbagai hidangan disediakan dari sekecil kacang sehinggalah buah-buahan dan juga makanan ringan siap terhidang untuk dimakan secara buffet oleh semua orang.

ALHAMDULILLAH..

Kelas untuk anak-anak pula kadang kala membuat aku menggaru kepala memikirkan bagaimana kaedah yang terbaik untuk aku sampaikan pada mereka. Sistem sekolah di sini yang langsung tidak mempunyai pelajaran agama membuatkan anak-anak hanya belajar agama dari ibu dan ayah masing-masing. Itu pon jika mereka belajar.Sangat menyedihkan.

Aku mencuba kaedah nyanyian nasyid dan juga bercerita nabi untuk permulaan supaya mereka lebih tertarik dan memahami gaya bahasa yang digunakan.

Mengikut pendengaran aku ketika mula mengendalikan anak-anak ini, corak gaya bahasa mereka sudah banyak pengaruh bahasa Inggeris di dalamnya sehingga kadangkala aku terpaksa menterjemahkan beberapa perkataan supaya mereka lebih jelas pemahamannya. Pengalaman belajar FKM di UIA di gunakan sepenuhnya.hehe.

Alhamdulillah..

Minggu lepas juga pertama kali berpeluang mengikut Wak Din memancing ikan kakap. Sangat teruja melihat lautan luas yang sangat mendalam. Pengalaman memancing menggunakan gulungan tali, menarik ikan kakap, melihat ikan jerung bermain di bawah bot dan juga melihat penyu berenang! Sangat kagum! Subhanallah.

Kurang dari seminggu lebaran bakal menjelang. Esok anak Pak Yati akan tiba bersama adik abang kamarul. Mungkin akan ada aktiviti baru untuk aku lebih bergerak aktif di pulau ini. Semoga dipermudahkan. InsyaAllah.

-Misi Rahmatan lil Alamin-

[BEBELAN KEDUA] -cocos island-

7 Ogos 2012

Hari ini genap seminggu aku berkampung di rumah Nek Qayak di Pulau Cocos ni. Jadual yang disusun oleh Persatuan Islam Pulau Cocos atas kendalian Pak Sofiya (Presiden) masih kurang mendapat sambutan dari kalangan anak-anak dan juga remaja. Manakala kaum ibu menunjukan aura positif untuk datang mempelajari fardhu ain.

Kini, masjid lama di pulau ini menjadi pusat untuk segala aktiviti keagamaan. Tiada lagi banyak imam yang berselisih faham seperti dahulu. Politik keimamannya nampak seperti sudah sepi. Haji Adam (Nek Arina) kini memegang jawatan imam utama tanpa ada penolong lain yang mahu tampil mengisi jawatan secara rasmi.

Walaubagaimanapun masyarakat yang berketerampilan masih bergilir-gilir menjadi imam untuk solat fardhu. Kesatuan ini menunjukan corak positif masyarakat di sini. Sementara masjid baru hampir 80 peratus siap, masyarakat di sini menunaikan ibadah teraweh mereka di masjid lama. Muslimin di Masjid Darul Aman dan muslimat di belakangnya Masjid Petunjuk.

Suasana ramadhan di sini jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia. Mungkin kerana kuantiti masyarakat di sini yang hanya hampir 500 penduduk bersamaan dengan 91 buah rumah menjadikan suasananya kelihatan agak suram. Mereka banyak berehat di rumah setelah penat bekerja di Pulau Panjang dan tempat-tempat lain.

Bazar Ramadhan hanya ada seminggu sekali sahaja. Juga tiada istilah bermain mercun di sini. Mungkin juga kerajaan Australia sangat tegas mengenai akta mercun ini.

Tidak dinafikan amalan bertukar juadah berbuka dari rumah ke rumah yang lain di sini nampak agak ketara. Mereka sangat suka membawa juadah-juadah untuk dihulurkan kepada jiran-jiran.

Malam ke-16 tempoh hari merupakan ‘malam ketupat’ bagi masyarakat di sini. Ia dinamakan begitu bersempena sudah setengah bulan Ramadhan berlalu. Menurut Haji Adam, malam itu juga untuk menyambut kedatangan lailatul qadar. Sangat awal..

Malam ketupat tersebut suasananya seperti hari raya. Ibu-ibu membawa juadah masing-masing dari rumah terutamanya ketupat untuk menjadi hidangan kepada hadirin yang hadir di masjid. Setelah selesai menunaikan solat teraweh, mereka akan duduk dalam bulatan untuk membaca doa selamat di bawah pimpinan tuan imam.

Ketupat dan rending beserta satu jag air diletakkan di tengah! Untuk simbolik keberkatan barangkali. Sayangnya aku tak bawa bersama camera ketika itu. Malam ketupat yang tak pernah aku fikirkan semeriah begitu. Ruginya alahaiiiii…..

Setelah selesai berdoa selamat, semua di jemput untuk menyerbu ke arah meja hidangan yang telah tersedia seperti buffet. Hampir 50 jenis juadah tersedia untuk santapan bersama. Sementara golongan muslimat hanya menunggu giliran untuk mengambil makanan setelah kaum lelaki selesai melilih juadah.

Begitulah kemeriahan ‘malam ketupat’ di sini.

Kuliah yang aku kendalikan setiap hari di masjid selepas maghrib cuba menekankan aspek-aspek supaya tidak berlebihan dan sebagainya. Kebanyakan mereka hanya beramal dalam bulan Ramadhan mengikut ajaran nenek moyang tanpa mengetahui hikmah disebaliknya. Aku sangat tidak selesa dengan corak teraweh yang super express di sini. Tercungap dibuatnya.Giliran aku imam teraweh jatuh pada minggu ‘malam pasung’. Nanti aku ceritakan apa itu pula malam pasung.

InsyaAllah, peluang untuk menyampaikan kuliah setiap hari digunakan sebaiknya untuk berkongsi kefahaman agar mereka lebih seronok dan memahami konsep Ramadhan yang sebenarnya.

InsyaAllah. Moga Allah permudahkan urusan! Amin.

[dengan berbekalkan laptop Hawa Mas Azmar yang kadang-kadang skrinnya menguji kesabaran membuatkan aku lebih bersyukur. 😛 yeke? ]

-Misi Rahmatan lil Alamin-

August 24, 2012Permalink 1 Comment

[BEBELAN PERTAMA] – cocos island-

Masih terbayang keadaan semalam sewaktu kapal terbang yang membawa aku ke Pulau Krismas kelihatan seolah-olah seperti akan mendarat di dalam laut!

Rupa-rupanya ada daratan di situ. Sebuah lapangan terbang antarabangsa yang sangat kecil. Di fahamkan penerbangan ke Malaysia hanya seminggu sekali sahaja dari situ.

Pengalaman baru.

Berada di ruang beratur untuk mendapatkan cop pelepasan masuk, aku memujuk hati untuk kelihatan tenang apabila dikelilingi golongan yang kita panggil mat saleh. Melihat kepada corak pakaian mereka yang boleh mengurangkan pahala puasa itu, aku rasa aku lah yang paling layak digelar ‘mat soleh’.

Mereka panas…sangkaan baik di bulan Ramadhan.

[Allah membantu aku di lapangan terbang] –kenangan-

Hari ke dua di sini aku di bawa mengilingi pulau yang mempunyai keajaiban dunia dengan ketam merahnya. Aku diceritakan jutaan ketam merah di sini akan keluar ke pantai untuk menetaskan telur sehingga jalan raya juga terpaksa ditutup! Sangat unik.

Demostrasi jalanan ketam itu akan berlaku sekitar hujung tahun. Ketika menyelusuri hutan batu di sini beberapa ekor ketam kelihatan malu-malu untuk disapa.  Aku masih tidak berani memeganga hanya mampu melihat gelagat mereka dengan senjata penyepit yang sangat hebat. Tak sakit pon kalau kena, kata Ustaz Ghaffar yang setia membawa aku ke sana sini.

Pulau yang tersangat jauh dari kesibukan manusia. Masih ada hamba yang bersujud kepadaNya. Sangat indah.

:tak terungkap:

-Misi Rahmatan lil Alamin-

(aku dah cuba upload gambar,tetapi kelajuan internet di sini memakan masa satu tahun untuk satu gambar) -maaf!

August 24, 2012Permalink 1 Comment

Kembara: Misi Memburu Taqwa

:esok bersamaan dengan 8 Ramadhan 1433H aku akan terbang dari KLIA ke Pulau Cocos, Australia.

Niat dipasang.

Azam

Tawakal

Bismillah……

2 pilihan : “hidup mulia atau mati syahid”

Maafkan segala dosa yang ada. Halalkan segala tanggungan yang berbaki.

Mohon doa yang terbaik dari kalian.

[misi Rahmatan lil Alamin]

July 28, 2012Permalink 1 Comment