[Katanning, Australia Barat]

10 Oktober 2012

.

Suhu di Katanning pagi itu aku anggarkan dalam 10 darjah celcius. Menggigil juga mulut untuk membaca doa qunut.Baju yang dipakai berlapis lapis juga seakan tidak mahu memberi kerjasama yang sebaiknya.

Benarlah kata dyll, orang kurus macam aku ni memang tak akan tahan sejuk. :tipu:

.

Katanning merupakan sebuah pecan kecil yang dihuni hampir 500 orang masyarakat melayu yang berasal dari Pulau Cocos. Juga terdapat beberapa orang melayu yang berkahwin dengan masyarakat cocos berasal dari Indonesia, Singapura dan juga Malaysia.

Komuniti lain yang tinggal di sini seperti biasa, mat saleh, mat hitam, mat cina, mat Burma, dan lain-lain yang hanya kecil jumlahnya. Kawasan ini masih didominasi oleh masyarakat orang putih tempatan. Mengikut perangkaan jumlah penduduk di sini, aku difahamkan mencecah hampir 5000 orang sahaja.

Masyarakat melayu yang berasal dari Pulau Cocos ini kebanyakannya sudah menetap di sini hampir 40 tahun dan lebih. Tetapi hubungan mereka bersama masyarakat di pulau masih erat. Bahasa, adat dan juga cara hidup tidak lari jauh dengan suasana di cocos, cuma jarak rumah dan juga luas daratan yang membedakannya.

Tak hairan lah jika ketika aku di masjid ada orang dari sini yang menegur aku kerana dia hanya menonton video khutbah hari raya yang aku bacakan. Video  sambutan hari raya di Pulau Cocos dahulu juga sudah tersebar di sini. Sangat kuat ingatan mereka.

.

Sebuah masjid tersergam indah di Katanning. Ini juga hasil tangan masyarakat melayu cocos yang tinggal di sini. Sangat teruja apabila melihat papan tanda perasmian masjid itu yang disempurnakan pada tahun 1981 oleh Allayarham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia!

.

.

Terdapat juga sebuah madrasah di belakang masjid ini yang digunakan sebagai kelas pengajian anak-anak masyarakat melayu  setiap kali hujung minggu. Penggunaan bahasa melayu cocos masih menjadi bahasa utama di sini. Walaubagaimanapun anak-anak melayu di sini sudah tidak lagi bertutur bahasa melayu bersama ibu bapa mereka. Mereka masih memahami bahasa melayu tetapi tidak mampu menjawab dengan  baik. Maka berlakulah perbualan unik antara hang tuah dan Robin Hood.

.

Terdapat golongan veteran di sini yang sudah risau memikirkan nasib bahasa melayu cocos suatu hari nanti. Adakah mampu anak cucu mereka sekarang yang berhidung penyet mampu bertutur bahasa melayu.

Kesempatan yang ada di Katanning aku gunakan sebaiknya untuk memastikan segala niat dan tujuan asal ziarah ini berjaya dilaksanakan.

Alhamdulillah.

.

Berpeluang untuk duduk berbincang bersama Prsiden Persatuan Islam Melayu Katanning, Haji Aqli di rumahnya membuka beberapa ruang dakwah untuk difikirkan bersama. Pertemuan bersama Imam masjid dan juga ustaz madrasah yang berasal dari Sabah itu juga memberi suntikan semangat untuk aku dan mereka sama-sama berjuang.

Bagi merapatkan lagi persaudaraan seperti biasa, aku menziarahi golongan-golongan nenek yang uzur di rumah mereka, mengikut aktiviti memburu burung, menyembelih kambing biri-biri dan lain-lain lagi.

.

Semoga Allah mengikat hati dan permudahkan urusan kami. Amin…

: akan bergerak lagi esok meninggalkan Kataning menuju ke Geraldton. 8 jam jarak perjalanan.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

October 12, 2012Permalink 2 Comments

Dari Lautan Ikan ke Ladang Kambing

6 Oktober 2012

Pesawat Virgin Blue Australia  yang membawa aku selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Perth, Australia. Perjalanan yang mengambil masa hampir 4 jam itu terasa begitu pantas sekali bila fikiran melayang mengenangkan suka duka di Pulau Cocos. Masih terbayang lambaian mereka dari suatu sudut ketika aku mula melangkah kaki naik ke feri. Cuaca mendung di atas menambahkan lagi kesayuan. Dakapan dari mereka membuatkan aku tak mampu menahan air mata. Nenek-nenek dan ibu-ibu sudah lama mengesat air mata.

Ya Allah, berilah peluang aku bersama mereka lagi. InsyaAllah.

Setelah bermalam di Perth, pagi esoknya aku terus dibawa untuk menuju ke Katanning.

Katanning merupakan sebuah pekan kecil yang terletak 300km dari Perth. Perjalanan yang memakan masa 3 jam itu dihiasi dengan pelbagai pemandangan yang sangat indah. Kebun sayuran, ladang-ladang haiwan ternakan dan juga hutan-hutan. Jalannya yang sangat lurus menyebabkan pemandu kadang kala akan merasa bosan menekan minyak. Jika waktu malam aku difahamkan jarang ada kenderaan yang akan keluar disebabkan banyaknya kangroo yang akan melintas memburu lampu kereta. Akibatnya kemalangan dengan kangroo. Bunyinya seperti ‘sweet’ gitu tetapi padahnya sangat teruk kerana kangroo binatang yang minum milo! Maksud aku ia binatang yang kuat!

.

.

Saat hampir tibanya ke tempat yang dituju kelihatan begitu luas padang ragut. Kambing biri-biri kelihatan di sana sini. Ini memang kawasan mereka. Pekan kecil Katanning menyimpan sejarah sejak dahulu kala menjadi pengedar kambing halal yang sangat maju. Kadang-kala kereta juga terpaksa diberhentikan seketika untuk memberi laluan kepada golongan kambing yang berdemo di jalanan.

.

.

aku yakin, tiqun pasti suka! hoho

Esok aku akan mulakan misi untuk membuat beberapa pertemuan melihat ruang-ruang dakwah di sini. Moga di permudahkan.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

October 9, 2012Permalink 1 Comment

Selamat Tinggal Pulau Cocos

Usai majlis perpisahan malam tadi.

Hujan renyai mula membasahi bumi saat memulakan suapan juadah.

Seluruh penduduk memenuhi perkarangan masjid.

Terima kasih semua.

[tak terungkap]

~

:bergerak menuju ke Perth! Good Day Mate!

[BEBELAN KESEBELAS] -cocos island-

17 September 2012

Hidup lawannya mati. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.

Selesai solat asar di masjid seorang pakcik datang berbisik kepada aku. Jemput ke tahlil akhir katanya. 40 hari ibunya telah pergi. Aku hanya mengangguk tanda setuju.

Petang itu aku seperti biasa menaiki kenderaan rasmi menuju ke rumah jemputan tahlil tersebut. Basikal BMX aku letakkan di bawah sebatang pokok. Sudah ramai tetamu yang hadir di situ. Kami semua dijemput masuk untuk memulakan majlis.

Saat kaki melangkah masuk, aku lihat ada 4 bungkusan kain berbalut rapi dengan menggunakan kain batik. Terdapat juga kain putih yang dipotong turut diletakkan di dalam dulang. Semuanya terkumpul di tengah laman.

Apabila imam sudah sedia maka tuan rumah memulakan bicara. Memohon untuk tuan imam bacakan doa tahlil bagi ibunya yang sudah pergi. Bacakan juga doa untuk tujukan empat bungkusan tadi kepada ibunya. Aku tergamam seketika. Berbisik bersama Pak Ainol disebelah, dia mengatakan bungkusan itu baju-baju si mati. Gulp~

Aku terpikir pula apa fungsi kain putih di dalam dulang tersebut. Rupanya minta dibacakan doa untuk menukar pakaian kepada si mati. Kain kapan rupanya. Aduh. Dah cukup 40 hari dalam kubur kena tukar kain kapan baru. Hurmm…

Kain kapan dalam dulang dan juga baju si mati tadi akan diserahkan kepada tetamu yang hadir sebagai hadiah.

Terdegar bisikan-bisikan dari tuan rumah untuk hadiahkan sehelai kain kapan kepada ku tanda hadiah mengambil berkat.

Bertambah cepat aku makan dan terus meminta izin untuk pulang ke rumah!

Kadang kala terdapat juga tahlil yang dibacakan diletakan makanan kegemaran si mati di tengah untuk dihadiahkan kepada si mati.

Doa apa pun yang dibacakan, si hidup jualah yang kenyang makan.

Sekian~

.

Misi Rahmatan lil Alamin

September 28, 2012Permalink Leave a comment

[BEBELAN KESEPULUH] -cocos island-

8 September 2012

.

Suatu pagi yang tenang, aku dijemput ke sebuah rumah untuk bersarapan.

Sedang asyik tuan rumah dan seorang anak dara mereka menyiapkan makanan, kelihatan Nek Abu sedang berjoging melambai ke arah aku sambil berteriak ;

“tinggal di sini saja lah pak ustat, kawen sama orang cocos!”

Si anak dara yang tiba-tiba menjawab ;

“kalau dah diizin tuhan tak ke mana…hehehe” sambil melirik mata ke arah aku.

Gulp!

Aku terus menukar tajuk perbualan.

Ok cukup.

Sengaja aku mulakan bebelan kali ini dengan pengalaman yang agak mengerikan di sini. Sebabnya aku nak cerita mengenai kenduri kawen di Pulau Cocos ni.

Alhamdulillah.

Pasangan  cucu Nek Iwat sudah pun dinikahkan di Pearth minggu lalu. Jadinya mereka dijangka akan pulang ke sini untuk meraikan bersama keluarga pula.

Seminggu sebelum majlis berlangsung, wakil-wakil yang dilantik akan pergi ke rumah-rumah untuk menjemput tetamu secara rasmi. Rumah yang aku duduki didatangi oleh Nek Syafaat untuk menjemput. Penuh dengan adab kesopanan gaya susunan ayatnya untuk menjemput. Turut diceritakan atucara majlis yang akan berlangsung. Bermula dengan perarakan pengantin, berlenggok dan juga majlis tari menari pada malamnya.

Minggu itu juga sibuk dengan gotong royong menyiapkan khemah untuk majlis pada hari sabtu nanti.

Pagi sabtu itu kelihatan sudah ramai penduduk memenuhi kawasan perkarangan rumah pengantin. Semuanya saling membantu untuk menyiapkan persediaan majlis makan. Turut diadakan pagi itu pertandingan menyelumbat (mengopek) kelapa menggunakan besi yang tajam yang dipacakkan di tanah.

Aku penah tengok cara mengopek kelapa begini ketika di kampung dulu. Atok aku memang hebat. Cucunya pula hebat menunggu untuk minum air kelapa je. Rugi aku tak belajar dulu. Kalau tak mesti dah menang lawan orang sini. Berangan.

Jam 11 pagi hampir 20 jenis makanan sudah terhidang di meja untuk dimakan. Cara makan kenduri di sini ala-ala orang putih. Ia akan dimulakan dengan para petugas membawa dulang minuman untuk diedarkan. Air sirap? Oren? Memang tak dapat la.

Air tin bergas sahaja yang menjadi amalan kebiasaan orang di sini. Tak hairan la jika ramai golongan veteran di pulau ini yang pelbagai sakitnya. Aku hanya mencapai air mineral supaya terus kelihatan sihat bertenaga. Cewah.

Selepas itu diedarkan pula pinggannya satu per satu kepada semua hadirin. Apabila semuanya sudah selesai tuan rumah akan memulakan sedikit ucapan ringkas dan doa makan sebelum semuanya dijemput makan.

Corak dan gaya yang sama, para tetamu lelaki dahulu yang akan diberi penghormatan menyerbu hidangan secara buffet itu. Pelbagai juadah. Mee goreng, nasi goreng, nasi putih, ikan, ayam, ketam, udang, sotong, siput dan lain-lain yang agak nampak  kebaratan juga turut disediakan seperti pizza, kentang goreng, nugget dan lain-lain.

Selepas itu diikuti pula dengan kaum wanita.

Begitulah cara mereka. Tak kira kenduri apa sekali pun. Makanan yang banyak itu sebenarnya dibawa sendiri oleh tetamu yang datang. Sebab itulah makanannya melimpah ruah yang menyebabkan pembaziran dan akhirnya menjadi makanan ayam pula.

Habis sahaja makanan berat semua dijemput pula memakan libasan (pencuci mulut) yang disediakan. Pisang, jambu, kek, kacang, keropok dan lain-lain.

Hanya perlu banyak ingatkan diri supaya tidak mengikut hawa nafsu.

Selesai makan, para tetamu beransur pulang untuk menunaikan solat zohor. Dijangka jam 2 petang pengantin akan dibawa berarak di sekitar kawasan tersebut.

Petang itu sudah kelihatan ramai  bapa-bapa berjalan sambil membawa kompang masing-masing untuk mengarak. Semuanya berkumpul di hadapan rumah pengantin. Kain baju kurung yang belum berjahit dibentangkan kira-kira 100 meter dengan pelbagai warna di hadapan rumah. Ini ialah laluan khas bagi pengantin.

Aku lihat pengantin lelakinya sudah bersedia di muka pintu. Pakaian tradisi mereka segak dipakai. Aku difahamkan banyak pengaruh jawa dalam majlis perkahwinan di sini. Kulit pengantin juga kelihatan agak kekuningan kerana adat belulur. Belulur itu ialah seperti melumurkan suatu bahan di badan selama dua hari. Adat yang menyalahi syarak sebenarnya kerana solatnya tidak lagi terjaga bila sudah dilumur begitu.

Apabila pengantin sudah siap, turut kelihatan batang-batang tebu yang dijulang dan dihujungnya dikepit ayam panggang yang sangat enak. Aku difahamkan sudah menjadi lumrah adat di sini. Ayam itu akan direbut bila pengantin tiba dilokasi terakhir nanti.

Perarakan dimulakan dengan imam membaca selawat dan merenjis beras kuning ke payung pengantin, dan diikuti dengan selawat-selawat lain sambil berjalan. Kain baju kurung tadi yang dibentang apabila sudah dipijak pengantin akan direbut oleh hadirin yang ada di situ.

Ketika perarakan juga keluarga pengantin akan melemparkan hadiah-hadiah untuk direbut oleh semua golongan. Antaranya duit, rokok, kain batik, kain pelikat dan lain-lain. Aku hanya menanti jika ada dia melempar i-pad atau laptop. Masih tak sampai ke tahap itu rasanya. Heh.

Begitulah keadaannya sehinggalah sampai di rumah pengantin perempuan.

Setibanya pengantin di rumah, para tetamu akan duduk di dalam rumah untuk berzanji dan berselawat. Selesai selawat bedak sejuk bercampur kunyit akan dicalit-calitkan pada pipi hadirin yang hadir oleh seorang wakil. Pipi perempuan juga dia yang calitkan! Huh.

Selepas asar barulah dijalankan lenggok. Lenggok ialah tarian kebudayaan masyarakat di sini dengan diiringi alunan biola dan gendang rebana. Dua orang penari akan masuk kedalam gelanggang untuk berlenggok  bersama. Kemudian bertukar mengikut alunan lagu yang tersendiri.

Malamnya selesai solat isyak dalam jam 7.30 kemeriahannya sudah terasa. Hadirin yang datang dengan memakai baju yang cantik seperti hari raya. Ada pesta tari menari kata mereka. Aku mengambil tempat bersama atok-atok yang sudah sakit lutut. Strategi untuk mengelak dari ditarik menari bersama mereka. Ngeee~

Majlis dimulakan dengan makan seperti biasa dan diikuti dengan joget-joget yang pelbagai diiringi muzik dari band anak muda tempatan. Kelihatan golongan yang lebih berumur lebih menguasai pentas.

Kadang kala rasa nak termuntah juga melihat nenek-nenek yang berusia lewat 60an beraksi seperti mereka berumur 16 tahun dengan gaya tarian dan juga solek tebal di muka. Ewww…

Aku pulang awal malam itu. Esoknya aku diberitahu joget berakhir jam 1 pagi. OMG!

.

Misi Rahmatan lil Alamin

September 28, 2012Permalink 2 Comments

[BEBELAN KESEMBILAN] -cocos island-

29 Ogos 2012

Duduk di kerusi luar sambil menaip dan membaca e-book. Angin yang menyapa kadang kala membuat aku berpeluk tubuh. Terdengar sayup suara ombak menghempas pantai di hujung pulau.

Usai kuliah aku di masjid tadi, seorang bapa datang berbisik menyatakan kerisauannya terhadap anak mudanya.

Katanya, dia tidak mempunyai ilmu agama yang baik, juga tidak mampu membaca Quran. Cuma mempunyai semangat yang tinggi untuk terus belajar. Kerisauan pada mendidik anaknya yang dilihat semakin jauh dari agama walau kebolehan membaca Quran dan bersolat itu sudah dimiliki ketika anaknya belajar dengan seorang guru suatu masa dahulu.

Aku cuba menyusun ayat yang mudah agar dapat menyuntik semangat kepadanya.

Jauh di sudut hati aku juga berdoa agar bukan anaknya sahaja tetapi anak seluruh penduduk Pulau Cocos ini dapat merasa kemanisan Iman itu. IsyaAllah.

Minggu ini kelihatan kehadiran bapa-bapa yang semakin bertambah dalam kuliah harian membuka lembaran baru untuk mereka lebih memahami Islam secara mendalam.

Pelbagai persoalan dari mereka di dalam dan luar masjid menunjukan minat yang sangat mendalam untuk terus mempelajari agama.

Menarik nafas dan berdoa. Alhamdulillah.

Aku bukanlah yang terbaik. Semoga usaha ini turut memberi pencerahan buat diri sendiri.

“Tugasku kepada kaum Muslimin adalah untuk memahamkan

tanggungjawab terhadap tugas-tugas itu, iaitu tanggungjawab yang

dikenakan terhadap mereka sebagai umat Islam. Tidaklah cukup hanya

sekadar mengatakan kami umat Islam. Tetapi ketika percaya kepada Allah

sebagai yang disembah dan Islam sebagai agama, maka yang demikian itu

harus ada dalam perasaan dan memikirkan bagaimana pelaksanaannya.

Jika tidak bangkit untuk melaksanakan tanggungjawab ini bererti tidak

mungkin bebas dari tanggungjawab pengabaian di dunia ataupun di

akhirat.”- Imam Abul A’la Al Maududi

.

Misi Rahmatan lil Alamin

September 8, 2012Permalink Leave a comment

[BEBELAN KELAPAN] -cocos island-

26 Ogos 2012

Seminggu lebaran berlalu.

Terlalu banyak rumah terbuka di sini. Tuan rumah hanya membuat jemputan khusus untuk orang-orang tertentu sahaja. Walaupun jiran sebelah rumah kadang kala tidak dijemput!

Ini bukan menunjukan mereka saling bermusuhan, tetapi sudah menjadi lumrah kehidupan di sini, begitulah adatnya. Tidak berkecil hati walau bau ayam BBQ dan sate jiran dah masuk ke rumahnya yang tak dijemput.

Harini semua penduduk dijemput ke rumah Nek Huz. Ada kenduri semperna sambutan kelahiran cucunya dan juga pertunangan.

Usai solat isyak, kelihatan sudah ramai penduduk memenuhi perkarangan rumah Nek Huz. Dua buah khemah atau ‘tarob’ panggilannya di sini sudah siap terpasang dengan alunan lagu-lagu wali band memecah kesunyian pulau.

Seperti biasa kelihatan juga meja yang sangat panjang dengan pelbagai juadah yang disiapkan oleh tuan rumah dan juga ada yang membawa untuk santapan bersama.

Tuan rumah memulakan bicara mengalukan kedatangan semua tetamu yang datang. Habis sahaja ucapan kelihatan ibu-ibu, bapa-bapa dan anak-anak berlari menuju ke khemah seperti menyerbu sesuatu.

Aku kaget seketika.

Rupanya mereka semua cuba merebut semua hadiah yang sudah siap tergantung di bucu-bucu khemah. Hadiah yang pelbagai itu hanya dibungkus dengan beg plastik sahaja. Kelihatan hadiahnya penyapu, baldi dan pelbagai lagi alatan dapur.

Hmm..itu pun direbut…

Sedangkan mereka di sini semuanya berkemampuan. Cuma sudah menjadi adat kebiasaan, merebut hadiah itu satu kepuasan bagi mereka.

Selepas itu  dibentangkan pula kain kuning dari dapur rumah sehinggalah di khemah utama. Kelihatan sepasang mempelai ala-ala pengantin keluar dari rumah berjalan di atas kain tadi sambil direnjis beras kuning ke arah mereka. Kain kuning yang sudah dipijak juga akan di rebut dan dipotong-potong untuk dibahagikan bersama. Gulp! Majlis perkhawinan atau petunangan ni? Terkerut dahi aku dalam 10 detik.

Aku difahamkan pertunangan di sini kadang kala sudah kelihatan pasangan itu seperti suami isteri. Mereka sudah tinggal bersama! OMG~  Tetapi kebiasaan ini sudah semakin berkurangan.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada mereka dan kita semua….

Selesai sahaja makan-makan, meja yang panjang tadi dialihkan ke tepi. Lampu dan lagu ditukar ala-ala disco. Ada joget-joget kata mereka. Sementara pasangan tunang tadi masih berjalan disekitar khemah dan kadang kala menaburkan duit. Sudah menjadi tradisi di sini, jika majlis-majlis keraian, duit kertas akan di taburkan untuk menjadi rebutan.

Bagi kaum ibu pula tuan rumah akan melempar kain batik baru yang juga untuk direbut.

Memang agak sukar difahami kan? Inilah manusia. Pelbagai ragamnya.

Tua,muda dan anak-anak  bersorak kegembiraan.

Aku meninggalkan anak-anak muda yang asyik berdansa. Mudah-mudahan mereka diberi kesempatan untuk memahami agama.

Berjalan pulang sambil memikirkan starategi terbaik memikat hati golongan muda untuk Islam.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

September 8, 2012Permalink Leave a comment

[BEBELAN KETUJUH] -cocos island-

Minggu ini seluruh penduduk Pulau Cocos berlibur.

Anak-anak, cucu-cucu dari tanah besar Australia balik berhari raya.

Kelas yang aku kendalikan juga berehat seketika.

Aku hanya tersenyum memandang kemeriahan mereka.

Aku pon ada family!!! bisik hati kecil..huh~

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA 1433H

MAAF ZAHIR & BATIN

.

-Misi Rahmatan lil Alamin-

August 24, 2012Permalink 2 Comments

[BEBELAN KEENAM] -cocos island-

19 Ogos 2012

Pagi hari raya di Pulau Cocos. Masyarakat sudah mula memenuhi ruang masjid seawall jam 6 pagi! Kami akan bersolat pada pukul 645 pagi di sini.

Seperti di Malaysia juga. Nampak warna warni dengan senyuman yang lebar penduduk di sini menyambut lebaran.

Aku diberi kesempatan berkhutbah aidilfitri hari ini.

Selesai solat dan khutbah, masyarakat di sini akan bermaaf maafan. Bunyinya seperti biasa, tetapi amalan bermaafannya sangat unik!

Mereka akan bersalam salaman dengan semua orang dengan dialog yang panjang. Memohon kemaafan untuk segala benda. Keadaan menjadi sangat sayu pagi itu. Air mata yang aku tahan tidak mampu lagi dibendung saat bapak-bapak yang mukanya sangat brutal bersalaman dengan aku dan memohon kemaafan dengan muka yang sangat kudus ikhlas. Ayat yang disusun juga seolah olah seperti sudah dihafal dalam drama melayu. Allahuakbar.

Indahnya silaturahim mereka….~

Selepas itu semua mereka akan terus menuju ke kawasan kuburan untuk membersihkan kubur dan juga membaca yasin.

Nampak sangat meriah di kawasan kuburan seperti majlis gotong royong. Selepas itu barulah pulang ke rumah masing-masing….

Tiada anak-anak kecil berziarah meminta duit raya..tiada juga orang-orang berziarahan melainkan jika dijemput. Sekadar itulah kemeriahan mereka.

Jadual dari Persatuan Islam Pulau Cocos menunjukan minggu raya ini adanya perlawanan bola sepak, bola tampar, tenis, perahu layar dan juga malam kebudayaan.

Aku hanya memenuhkan jadual harian dengan pelbagai jemputan makan dari masyarakat sekeliling.

Bersiap untuk membuat jadual jogging untuk diri sendiri~huhu

.

-Misi Rahmatan lil Alamin-