All is Well

sumber:  http://genta-rasa.com/

.

Pernah saya katakan, kita akan diuji melalui apa yang kita sayangi dan dengan apa yang selalu kita katakan. Inilah hakikat yang saya alami semasa cuba berdakwah dalam rangka untuk mendidik diri disamping mendidik orang lain. Saya cuba memujuk hati dengan berkata, “ketika Allah menguji kita dengan apa yang kita sering dakwahkan kepada orang lain, itu petanda Allah mengingatkan kita ketika kita mengingatkan orang lain.” Agar kita tidak memperkatakan apa yang tidak amalkan…

Namun, suara hati juga mengingatkan, supaya terus melakukan kebaikan (berdakwah)… bukan kerana kita sudah baik tetapi itulah cara kita hendak menjadi orang yang baik. Ya Allah, berilah petunjuk kepada kebimbangan hati ini… kerana ujian di jalan dakwah ini kekadang dirasakan terlalu berat berbanding iman yang begitu tipis. Hati sering dipujuk untuk mengakui satu hakikat: Allah tidak akan menguji di luar kemampuan seorang hamba untuk menghadapinya.

Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku, aku sedang diuji. Begitu juga dengan kamu, dan kita semua. Lalu untuk memujuk hati ketika menerima tarbiah Ilahi ini saya nukilkan tulisan ini untuk saya dan kita semuanya… Tajuknya: ALL IS WELL – semuanya baik belaka.      

“Ustaz kata kecemerlangan dunia itu bayangan kecemerlangan akhirat?”

“Ya, “akui saya pendek.

“Atas dasar apa?”

“Berdasarkan kata Imam Syafei, dunia itu adalah tanaman untuk akhirat.”

“Maksudnya?”

“Dunia tempat kita menyemai, akhirat tempat kita menuai. Jika kita hendak merasai buah yang manis dan banyak , sudah sewajarnya pokok yang kita tanam baik dan subur.”

“Saya belum faham…”

Saya merenung wajah pelajar yang sebaya dengan anak saya itu. Dia benar-benar inginkan penjelasan. Terasa masih jauh pendekatan dakwah saya berbanding ulama-ulama silam – yang bercakap dengan jelas, tepat dan lemah lembut.

“Begini nak… jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang.”

“Kalau begitu malanglah kalau kita jadi orang miskin, pekerjaan kita buruh, pangkat kita rendah dan kita jadi orang yang biasa-biasa sahaja di dunia.”

“Mengapa begitu?” saya bertanya kehairanan.

“Ya, bukankah orang miskin, marhein dan orang yang biasa-biasa itu dianggap tidak cemerlang di dunia?”

Saya mengurut dada. Mujur dia bertanya.

“Perspektif Islam mengenai kejayaan berbeza dengan takrifan majoriti masyarakat hari ini. Menjadi miskin, seorang buruh dan marhein setelah berusaha bersungguh-sungguh,  bukan bererti gagal. Itu hanya ujian dalam kehidupan.”

Di dalam hati saya bertekad ingin menjelaskan konsep hidup di dunia sebagai ujian terlebih dahulu. Setelah itu baru saya ingin menerangkan erti kejayaan dalam Islam. Ya, lulus ujian baru berjaya.

“Apa maksud dengan ujian kehidupan?” tanyanya lagi. Alhamdulillah, dia membuka ruang untuk saya memberi penjelasan.  Memang benar seperti yang selalu dikatakan, pertanyaan itu kunci kepada ilmu.

“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk, ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.”

“Ujian untuk apa ustaz?”

“Ujian sama ada kita mengingati-Nya atau tidak, mentaatinya atau tidak, “ jawab saya.

Melihat dia terdiam, saya menyambung penjelasan, “ orang miskin boleh berjaya jika dalam miskinnya dia mengingati Allah dengan kesabarannya. Orang kaya, mengingati Allah dengan kesyukurannya. Yang berkuasa, menegakkan keadilan kerana Allah. Yang marhein, patuh dan setia kerana Allah juga. Situasi dan kondisi yang kita hadapi dan alami  bukan penentu kejayaan kita tetapi respons kita terhadap kondidi itu yang lebih penting. Apakah kita bertindak balas dengan apa yang kita hadapi seperti selayaknya seorang hamba Allah? Seorang hamba Allah sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan, positif mahupun positif…”

“Maksudnya, yang negatif pun jadi positif?”

“Ya, semuanya baik, bergantung pada tindak-balas diri kita. ‘All is well’ – semuanya baik. Ya, semua yang datang dari Allah adalah baik belaka kerana semua itu hanya ujian buat kita. Jika kita menghadapinya dengan hati yang sabar, syukur atau redha… ya kita berjaya!”

“Jadi ada orang kaya, berkuasa dan ternama di dunia ini boleh dianggap gagal?”

“Bukan boleh dianggap gagal tetapi  mereka memang gagal. Sekiranya dengan ujian kesenangan, kekuasaan, kenamaan dan kecantikan itu mereka tidak bersuyukur, zalim, kufur,  malah takbur kepada Allah dan sesama manusia.  Sebaliknya orang miskin, marhein dan melarat itu hakikatnya berjaya sekiranya mereka mengingati Allah dalam kesabarannya.”

“Tetapi kalau mereka miskin kerana malas… tidak gigih mencari ilmu, menambah kemahiran  dan ilmu, lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh dikatakan berjaya?”

Kritikal betul cara berfikir pelajar ni, bisik hati saya.

“Orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif.  Orang yang ingat Allah, akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di dunia…”

“Orang yang ingat akhirat akan sibuk di dunia?”

“Ya, sebab dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia akan  sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi, menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi… Begitulah orang yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.”

“ Agaknya inilah yang dimaksudkan orang yang paling bijak ialah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya…”

“Benar. Benar sekali. Sebaliknya, sipemalas ialah orang yang dungu, bukan orang yang sabar. Dia tidak akan dapat pahala sabar… sebaliknya mendapat dosa kerana kemalasannya.”

“Malas itu satu dosa?”

“Ya, malas itu satu dosa. Cara bertaubat dari dosa malas ialah dengan gigih bekerja. Kita adalah khalifah di muka bumi. Seorang khalifah wajib memberi kebaikan kepada diri, orang di sekelilingnya dan alam seketiranya. Untuk itu dia mesti rajin. Bagaimana seorang pemalas boleh melaksanakan tugasnya sebagai khalifah?”

Saya teringat khutbah yang baru saya dengar bulan lalu. Yang boleh saya simpulkan daripada kata khatib itu ialah, keadaan yang kita hadapi atau apa yang kita miliki, bukan pengukur kejayaan kita. Sebaliknya, kejayaan kita terletak kepada sejauh mana diri kita mengingati Allah ketika memiliki sesuatu atau semasa kita menghadapi suatu situasi.

Akan saya sampaikan semula apa yang saya terima kepada pelajar itu, insyaAllah. Ya, saya masih ingat ketika khatib itu menegaskan:” Kejayaan Nabi Ibrahim AS bukan kerana baginda tidak terjejas oleh api yang dinyalakan oleh Namrud tetapi kerana ketika di dalam nyalaan api itu Nabi Ibrahim mengingati Allah, kerana kalau kejayaan itu diukur pada tidak terjejas jasad baginda oleh api, apakah kita mengatakan bahawa ‘ashabul ukhdud’ yang terbakar kerana mempertahankan tauhid itu tidak berjaya? Apakah Masyitah dan anaknya yang terkorban apabila dihumban ke dalam api oleh Firaun itu tidak berjaya? “

Khatib itu menambah lagi:” Jika kita katakan, kejayaan itu kepada keadaan Nabi Ismail yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan digantikan dengan seekor kibyas… apakah  Nabi Zakaria AS yang syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah itu tidak berjaya? Apakah Sumayyah yang mati ditusuk lembing oleh kafir Quraisy itu tidak berjaya?”

Tanpa disedari air mata mengalir apabila Khatib itu berkata, “tuan-tuan, Nabi Ibrahim, Nabi Zakaria, Sumayyah dan Asyhabul Ukhdud semuanya berjaya… walaupun situasi ujian yang mereka hadapi berbeza. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan  bukan situasi tetapi respons hati mereka ketika menghadapi  situasi itu. Respons hati mereka tetap sama, walaupun situasi yang mereka hadapi berbeza.”

“Respons hati mereka hanya mengingati Allah,” ujar pelajar itu.

“Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan kita. Yang sabar dan syukur, jadi mulia… lalu mereka berjaya. Yang putus asa dan takbur, jadi hina… lalu mereka gagal. Sering diungkapkan oleh bijak-pandai, jika dapat limau manis, bersyukurlah. Sebaliknya jika dapat limau masam, jangan kecewa… buatlah air limau!”

“Jadi berjaya di dunia itu letaknya pada hati?” rumus pelajar yang bijak itu.

“Ya. Terletak pada ‘qalbun salim’ – hati yang sejahtera. Hati yang boleh dimiliki oleh sikaya, simiskin, ternama, marhein, sicantik, yang hodoh, pemerintah mahupun rakyat. Hati itulah yang dinilai oleh Allah di Padang Mahsyar kelak ketika semua anak-pinak dan harta-benda tidak berguna lagi…”

Saya menambah lagi,“ Hati yang ingat Allah pada setiap masa, ketika dan keadaan apa pun jua. Itulah kejayaan! Allah Maha adil tidak meletakkan kejayaan kepada yang lain kerana ujian hidup manusia yang ditakdirkan berbeza-beza. Namun berbeza-beza ujian itu matlamatnya sama… sejauh mana kita merasakan kita hamba Allah dan kepadaNya kita akan dikembalikan!”

“Bukankah itu makna ucapan istirja’ –  innalillah wa in na ilaihi rajiun? – kami milik Allah, kepadaNya kami akan kembali,” balas pelajar itu.

Saya mengangguk perlahan, seraya berkata, “hati itulah anakku… yang perlu kita miliki sebelum kembali. Itulah ‘syurga’ di hati kita. Itulah kecemerlangan di dunia yang menjadi petanda kecemerlangan akhirat. Jika di hati kita belum ada syurga itu ketika hidup di dunia… maka sukarlah kita mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat nanti!”

“Apa yang perlu kita lakukan ustaz?”

Saya terdiam. Di dalam hati terlalu sebak. Masih jauh hati ini dengan ‘syurga’ dunia. Dan alangkah jauhnya dengan syurga  akhirat.

“Anakku, kita akan terus diuji. Beruntunglah kerana ujian ini masih ada. Allah masih sudi menguji kita. Hidup masih berbaki. Kalau gagal, kita masih berpeluang untuk mengulang. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia… kerana ada ‘syurga’ di sini, yang wajib kita miliki sebelum layak menikmati syurga di sana.”

“Syurga di hati kita…”

“Yang ditempa oleh setiap hamba Allah yang sejati… dengan keringat, dengan air mata dan sesetengahnya dengan darah. “

“Hidup di dunia untuk menderita?”

“Tidak anakku… hidup di dunia untuk diuji. Kita akan tenang, berjaya dan bahagia selagi Allah ada di hati kita. Ingat, ‘all is well’, kerana semuanya dari Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Bila diuji, jangan katakan.” ya Allah, ujian-Mu sangat besar. Tetapi katakan, wahai ujian, aku ada Allah yang Maha besar.”

‘Allah is bigger than your problems… insyaAllah, all is well!’ . Tetap adalah lautan kasihNya di sebalik ujianNya yang setitis.

Bukan Apa Yang Dilihat, Tetapi Bagaimana Melihatnya

“Sistem nilai diri menentukan sama ada mata kita mata lebah atau mata lalat”

Seorang nyonya tua melintas jalan memikul bakul yang penuh dengan ubi kayu. Badannya bongkok terserlah beban beratnya ubi kayu yang dipikul. Berseorangan tanpa berteman. Mengusap peluh yang mengalir laju dari dahi yang berkedut.

“Kesian aku tengok nyonya tu. Dah tua pun masih buat kerja berat lagi. Mana pergi anak dia. Tak patut betul anak dia biar ibunya buat kerja teruk macam ni,” ujar Ehsan kepada Taufiq.

“Itu pandangan mata kau. Tapi pada mata aku. Ada suatu yang kita perlu belajar daripada hidup nyonya tu. Walaupun dia dah tua, tetapi sikap dia yang tidak meminta-minta kepada orang lain.

Mungkin itu yang diajar oleh masyarakat Cina.

Bekerja hingga ke hujung usia.

Lagipun dalam agama kita sendiri, kerja dan urusan dunia tidak terpisah dari perihal akhirat. Bukankah jika kita bekerja sehingga akhir usia dalam keadaan mencari rezeki yang halal dan hasilnya disalurkan kepada yang perlu itu satu ibadah.

Cuma orang kita yang selalu sangat membahagikan usia mereka kepada tempoh kerja dan tempoh ibadah. Lalu akhirnya wujud pemikiran ‘beribadah selepas pencen’,” hurai Taufiq dari sudut pandang agama yang amat positif.

“Tak terfikir pulak aku. Yang aku nampak hanya negatif saja. Yang buruk saja mata aku menangkap,” Ehsan tunduk malu dengan gaya pandang negatif ia melihat sesuatu peristiwa.

“Tidak mengapa…cara manusia melihat itu berbeza. Aku melihat dari sudut yang lain. Kau lihat dari sudut yang lain. Persitiwa sama, kesimpulan berbeza. Namun kita kena bijak melihat dengan cara yang positif.

“Sebenarnya ada satu kisah motivasi yang terkenal di Amerika Syarikat. Ianya kisah duka seorang isteri juga merupakan ibu kepada dua orang anak kembar. Dia berkahwin dengan lelaki pilihannya. Malang sekali, setelah berkahwin dia baru mengetahui bahawa suaminya merupakan seorang penagih dadah tegar.

Setiap hari dia akan menanti kepulangan suaminya. Sudah pasti hidangan pukulan, tendangan dan tampar dari si suami menjadi rutin harian. Suaminya akan pulang dalam keadaan menggigil dan membelasah si isteri yang enggan memberikan wang kepadanya. Ketagihannya yang melampau membuatkan isteri terpaksa bekerja keras mencari wang untuk menyara kedua anak kembar mereka.

Yang lebih menyedihkan, setiap kali si isteri dibelasah suaminya, perbuatan itu diperhatikan oleh kedua-dua anak mereka. Fenomena ini memberi kesan yang mendalam kepada kedua-dua anak tersebut.

Masa berlalu pantas, rumah tangga ini punah sama sekali. Si suami kemudian meninggal dunia dengan mulut berbuih di bawah jambatan. Si isteri pula tidak lama kemudian meninggal dunia akibat kesan tekanan yang sangat dahsyat. Tinggallah kedua-dua anak kembar ini meneruskan kehidupan sendirian.

Bertahun-tahun kemudian orang menemui seorang daripada kembar tersebut sedang hancur ketagihan dadah terbongkang di bawah jambatan. Di mana saudara kembarnya? Mereka menemuinya di wisma miliknya sendiri di bawah nama syarikat guaman paling terkemuka. Dia menjadi seorang peguam hebat. Ketika ditanyakan kepada mereka berdua tentang nasib hidup yang berbeza, jawapan kedua-duanya adalah sama.

“Saya tengok apa yang ayah lakukan.”

Seorang melihat kemusnahan itu dan menirunya.

Seorang lagi melihat benda yang sama dan bertekad untuk segera membesar bagi membebaskan ibu daripada seluruh kesakitan itu!!

Seorang lagi melihat kehidupan lampau mereka dan motivasinya musnah. Sementara yang seorang lagi melihat kehidupan lampau sebagai pendorong motivasi.

Dua anak membesar daripada susuan ibu yang sama, tinggal di rumah yang sama, bermain di lorong yang sama, makan hidangan yang sama serta menyaksikan semua benda yang sama, tetapi membesar sebagai manusia yang berbeza. Si penagih melihat perangai si ayah untuk dijadikan ikutan. Si peguam melihat perjuangan ibunya membuatkan ia gigih menegakkan keadilan.

Bukan apa yang dilihat, tetapi bagaimana seseorang melihatnya. Itu lebih penting!” Cerita taufiq dengan panjang lebar menyedarkan Ehsan dari lamunan.

Akhirnya mereka membuat kesimpulan, pandanglah peristiwa seperti mata lebah. Segala bau busuk, najis dan kotoran ditolak ketepi. Namun lebah terus mencari bunga lalu mencipta madu. Bukannya seperti pandangan mata sang lalat. Haruman dan bunga ditinggalkan. Mencari najis dan kotoran membiakkan penyakit dan melumpuhkan alam.

by:imam muda asyraf.

December 28, 2012Permalink Leave a comment

Kisah Budak Kacak

Bismillah…

Pagi Jumaat di sebuah tempat di pinggir kota raya.

Selesai solat subuh terus menyelusuri hening pagi menuju ke terminal putra PWTC. Seorang rakan sedang menunggu di sana dengan tabah.

Perjalanan pulang di sapa dengan khidmat pesanan ringkas untuk bersiap kacak pagi ini. Walaupun dalam hati terfikir memang setiap masa kot kacak. Nak tidur pon baju di’iron’ kemas. Cuma tak bertali leher je.

Bersiap dan terus ke tempat paling menyeronokan. Dia sedang menyusun yang terbaik untuk aku, bisik hati budak itu. Coklat besaq ada di depan.

Yakin dengan diri sendiri.

Siapa lagi kalau bukan kita. Semangat.

 

 

 

December 28, 2012Permalink Leave a comment

Pilih

Ada Hati

Kecil hati

Takda Hati

Kesian

………..

“Pernah diungkapkan, tidak mengapa jika kaki mu yang sakit, asalkan hati mu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit kita akan kehilangan tujuan dan harapan. ” -UPMJ

December 27, 2012Permalink Leave a comment

Sejarah Palestin & Israel

.

Bumi dan tanah rahmat, bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.

Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan ‘Tanah Yang Dijanjikan Tuhan’ kepada mereka.

Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.

Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.

Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa.

Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).

Sejarah Awal

Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka.

Kita tahu melalui al-Quran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.

Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut.

Kita boleh baca sendiri dalam al-Quran, betapa kaum ini semakin lama semakin besar kepala, meminta yang pelbagai daripada Nabi Musa dan sebagainya.

Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah.

Setelah Talut menawan kembali tanah Palestin daripada kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin).

Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.

Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.

Sejak itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom.

Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian.

Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi.

Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.

Kedatangan Islam

Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi.

Empayar Islam semakin berkembang dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada sudut struktur pemerintahan.

Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.

Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan ‘fatwa’ mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi.

Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades).

Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.

Menawan Semula

Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat.

Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi.

Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin.

Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.

Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai.

Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar.

Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.

Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi.

Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah.

Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.

Perang Dunia Pertama

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary.

Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain.

Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis.

Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam.

Perlu diberi perhatian bahawa pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.

Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab.

Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain.

Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain. Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin.

Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan, “Hari ini, Perang Salib sudah berakhir”.

Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi.

Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada mencecah setengah juta penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.

Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann.

Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut.

Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut.

Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju.

Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour:

“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”

“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”

“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”

Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.

Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.

Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama.

Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin.

British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Bertitik tolak daripada situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.

Kejatuhan Turki Uthmaniyyah

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul.

Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular.

Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.

Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu, “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”

Lord Curzon menjawab, “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya – Khalifah dan Islam”.

Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.

Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.

Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan.

Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri.

Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.

Holocaust

Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler.

Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4.

Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.

Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.

Penglibatan Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.

Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki.

Setelah Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.

Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman.

Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan.

Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB.

Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini.

Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.

Palestin Sekarang

Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel.

Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat Holocaust tersebut.

Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika.

Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.

Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa.

Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin.

Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika.

Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya dua; sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam yang menyokong perjuangan Palestin.

Di manakah kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.

Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.

Fikir-fikirkan.

.

source : http://www.iluvislam.com

November 22, 2012Permalink Leave a comment

Malaysia Tanah Air ku.

 

Alhamdulillah…selamat tiba di tanah air.

.

.

“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran”. Abu Firas al-‘Amiri

make ‘eheming’ history!

.

aku bukanlah petah berbicara bahasa Inggeris.

bukan juga fasih berbahasa arab.

berani untuk keseorangan jauh sekali.

tapi…

semua itu bukan penghalang.

untuk aku menerjah bumi barat.

meneroka bumi anbiya’.

merentas lautan.

kerana aku yakin.

Dia sentiasa menemaniku bersama!

.

 “Dan mereka menjawab cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung”

(surah ali-imran, ayat 173)

.

.

[SELAMAT HARI ULANGTAHUN MOHD SHAZNI ABDULLAH]

terima kasih mama&abah!

Alhamdulillah.

Kembali melihat laut!

.

Alhamdulillah…

Perjalanan selama 8 jam selamat disempurnakan. Tiba di Geraldton disambut dengan hujan rintik-rintik membasahi bumi.

Kali ini biar gambar sahaja yang bercerita. Kecapekan untuk menaip~

.

kesejukan luar biasa

.

sepetang di sini

.

.

Misi menziarahi komuniti masyarakat melayu di sini tidak jauh bezanya. Masyarakat melayu Pulau Cocos masih menguasai kawasan-kawasan terpencil begini. Masjid didirikan oleh mereka ini sejak tahun 1989 menjadi hikmah penghijrahan mereka ke tanah besar Australia.

.

Sangat teliti perancangan penyebaran agama Allah!

Aku difahamkan masyarakat melayu di sini hampir 400 penduduk. Kebanyakan mereka bekerja sebagai penyembelih di ladang-ladang dan juga bekerja dalam industri perkilangan.

.

.

Islamic Association of Geraldton menyambut aku dengan tangan yang terbuka. Pelbagai perkongsian menarik bersama mereka walaupun baru bersua. Ruang-ruang kerjasama dakwah lebih terbuka. Terasa seperti Dia membuka jalan yang luas untuk kami. Hikmah kembara. AllahuAkbar!

Akan aku kongsikan nanti..InsyaAllah.

.

Allah mengeratkan lagi hubungan kami dengan pelbagai aktiviti. Hobi ketika di Pulau Cocos dulu masih tidak dapat dipadamkan. Kali ini memancing ikan bersama tuan Imam. Sangat menajubkan pengalaman sebegini. Bukan kerana cucu imam yang kelihatan seperti maya karin itu turut bersama, tetapi perkongsian perjalanan sejarah masyarakat Islam bermula di sini dikongsikan tanpa jemu. Pak Imam yang osem!

.

Alhamdulillah.

.

Pak Imam menyarankan aku terus bergerak selepas ini menuju ke Port Headland. Tempat yang lebih awal masyarakat melayunya bertapak.

Mudah-mudahan.

“asyik naik je, bila nak turun-turun ni….” [sabar ye] :p

.

Misi Rahmatan lil Alamin