Periksa Spoket Motor Anda

Motor aku baru je kuar bengkel tadi…

Punca utama?

Rantai jatuh dan spoket aku terus jem..

Kaedah pengesanan?

Perjalanan kurang lancar..

Bunyi seperti ada anak kucing tersangkut di tempat gear anda..

Kebarangkalian?

Bontot motor anda akan disapu bersih oleh kenderaan di belakang anda kerana apabila rantai tersebut tersangkut tayar belakang motor anda akan berhenti secara mengejut.

Kesimpulan?

Pastikan rantai motor anda dalam keadaan yang selamat. Pastikan juga anda yang lelaki tidak memakai rantai emas. HARAM.

March 10, 2009Permalink 3 Comments

Selangkah ke Alam Misteri

Bas yang aku naik masih lagi merangkak dalam kesesakan jalan raya. Tak tau la apa punca sebenar sehinggakan lebuhraya yang selalunya berdesap desup kereta akhirnya jadi seperti perlumbaan kura-kura untuk masuk ke paya. Melihat keadaan yang sebegitu aku melangkah ke tempat pemandu dengan hajat mahu menghilangkan ketensionan abang bas. Kawan-kawan yang lain sudah terbongkang kepenatan. (Baru balik dari program COMRADE)

Benarlah kata orang, pemandu bas atau lori ni pengalamannya cukup luas. Jauh perjalanan luas pemandangan. Abang bas ni muda lagi, tapi gaya perbualannya menarik minat aku untuk terus melekat dan mendengar ceritanya.

Pelbagai usul kami bahaskan dalam bas tu. Tapi aku nak cerita kat sini secotet je dari apa yang abang tu kongsikan. Nak tau lebih jOm lepak kedai kopi la. hehe…

Aku cuba tanya abang tu pengalaman2 pelik sepanjang dia bawa bas.

“Hanya pemandu bas atau lori je yang tau area2 mana yang boleh berhenti berehat dan area2 mana yang panas”

Ayat permulaan abang bas tu nampak tersusun cantik, tapi memberi makna yang sungguh mendalam.

Bukit Tujuh, Kelantan. Antara tempat yang pernah menjadi saksi pelbagai kisah misteri abang bas tu. Diceritakan pernah suatu malam………..

“abg baru je lepas potong sebuah lori balak, tapi tiba2 tengok kat cermin sisi bas ni nampak cam lori balak tu makin laju je nak potong bas abg balik. Bila lori nak potong je bas abang, sampai je kt sebelah abg nampak rupanya driver lori tu xde kepala la…..”hohoho…

lagi………

“masa tu bas tgh slow sgt bwk penumpang naik bukit tengah2 malam…tengah merangkak sikit2 nak naik bukit tu adik bayangkan keluar orang dari tepi hutan yang gelap tu ramai2 lintas jalan. Pakai macam orang baru balik masjid. Nasib la bas tengah slow. 4 orang yang terakhir kuar dari hutan tu bawak keranda. ‘Makhluk’ tu tak ganggu, lintas jalan je……fuhhhh”

lagi………

“adik pernah tengok citer jangan pandang belakang? babak yang hantu tu ikut je sebelah sermin kete. huhuhu…camtu la kejadian yang kawan abang penah kena. Tapi dia ikut je, tak kacau pape. Memang tak ketahuan jadi beb”

hmmm…tu la secebis cerita abg bas tu kat aku…nak tau lagi kena lepak makan roti canai r…huhu

March 10, 2009Permalink 4 Comments

Mus’ab bin Umair : Pemuda Dakwah

Musab bin Umair adalah sahabat Rasulullah yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam lagi Musab terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Musab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Musab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Musab telah menganut Islam.

Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Musab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Musab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Musab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Musab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Musab meninggalkan Islamnya.

Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Musab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Musab kepada ibunya: Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.

Apa lagi lemahlah siibu mendengar jawapan sianak. Dengan jawapan tersebut juga, Musab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Musab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.
Untuk meneruskan kehidupannya, Musab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Musab. Adik-beradik Musab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Musab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Musab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Musab sering disebut-sebut oleh sahabat:

Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Musab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Apabila ibu Musab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Musab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Musab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Musab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Musab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Musab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Musab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Musab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Musab sebagai syuhada’ Uhud.

Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Musab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Musab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.
Musab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Musab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.

“WASIAT SAIDINA UMAR AL-KHATTAB R.A”

INI ADALAH PETIKAN DARI WASIAT SAIDINA UMAR AL-KHATTAB KEPADA KETUA TENTERANYA IAITU SAAD BIN ABI WAQAS KETIKA BELIAU MENGUTUSKANYA UNTUK PEMBUKAAN PARSI.

Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Saad … ! Dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertaqwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya bertaqwa kepada Allah SWT adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam peperangan.

Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama kamu supaya lebih menjauhi dari maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti dari musuh-musuh Islam.

Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan dari Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada bagi orang-orang Islam akan kekuatan. Jumlah bilangan tentera kita jika mahu dibandingkan dengan pihak musuh adalah terlalu kecil. Begitu jugalah dengan persiapan serta kelengkapan pertahanan kita jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh, tidaklah kita sekuat mereka. Maka jika amalan serta tingkah laku kita sama dengan pihak musuh dalam melakukn maksiat, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak musuh.

Jika kita tidak mendapat pertolongan dari Allah SWT ke atas musuh-musuh ini, sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi kehebatan mereka. Ketahuilah !!! Bersama kalian ada malaikat yang menjaga keselamatan dan para malaikat initelah mewakili dari pihak kerajaan Allah SWT untuk menjaga kamu supaya kamu berasa selamat. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan maka hendaklah kamu berasa malu terhadap apa yang ingin kamu lakukan dan janganlah kamu berkata ” Sesungguhnya pihak musuh lebih hina dari kita, mereka tidak akan dapat menguasai ke atas kita sekalipun kita turut sama melakukan kejahatan”.

Ucapan yang sedemikian boleh jadi akan terbalik kepada kita maka akan datang satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israel yang mana akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi ( penyembah api ). Sentiasalah kamu memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk menghilangkan penyakit yang ada dalam diri kamu itu sebagaimana kamu memohon pertolongan Allah SWT untuk mengalahkan musuh-musuh kamu. Berdoalah untuk diri kamu dan tidak lupa juga buat diri kami….”

Kaedah Asas Mengekalkan Kesihatan Jiwa

Dipetik dari buku: LA TAHZAN Kebahagian Pasti Bersamamu

•Nikmatilah hari-harimu dan detik-detik dalam hidupmu.
Masa lalu jangan sampai membuatmu selalu bersedih,
Masa depan jangan sampai membuatmu risau dan
Serahkan segala urusanmu kepada ALLAH

•Janganlah kamu membiarkan kemusykilan  sebesar
Apapun  membinasakan emosimu dan fikirkanlah
dengan tenang dalam mencari penyelesaian.

•Ingatlah harga mahal yang kamu bayar untuk kesihatan
Kamu ketika kamu menjadi tawanan kegelisahan,
Ketegangan dan stress

•Ketika anda tegang dan stress disebabkan sesuatu
Kemusykilan walau apapun bentuknya, ambillah
Sehelai kertas dan pena dan catatlah jawapan di atas
Kertas tersebut untuk beberapa soalan berikut:
Apakah yang membuat saya tegang?
Apakah yang harus saya lakukan dengan ketegangan
Saya?
Bilakah aya dapat melakukannya?
Bagaimana saya mampu melakukannya?

•Jangan sesekali meragui bahawa kamu adalah seorang
Yang bahagia. Janganlah kamu menanyakan dirimu, apakah
Dirimu bahagia atau tidak. Kamu pasti bahagia selagi kamu
Mentaati ALLAH,menyembahNya dan menuntu ilmu keranaNya.

•Kamu harus bersungguh-sungguh dan tekun dalam menuntut
Ilmu dan berama, menikmatinya dan menjadikannya mampu
Mengisi kekosonganmu.Ketika itu kamu pasti tidah akan
Merasa risau lagi.

•Lupakanlah masalah yang remeh temeh. Janganlah kamu
Menghiraukan masalah yang tidak bermanfaat. Janganlah
Kamu marah lantaran msalah remeh temeh atau
membiarkannya menakluki dirimu dan mekarkan hidupmu.

•Janganlah kamu khuatir dengan masa depan. Percayalah
Dengan takdir ALLAH dan ketentuanNya. Yakinlah dengan
Kebijaksanaan ALLAH. Relakanlah segala apa yang ditakdirkan
Allah pada dirimu. Bersikaplah dengan baik, bersyukur dan reda.
Hadapilah dugaan dengan sabar dan berserah diri kepada ALLAH

Misi Jihad Cinta

“Sayang, kita dah sampai.”

Safiyyah menggosok mata yang masih kantuk. Tudung labuhnya yang agak senget dibetulkan suaminya.

“Tapi safiyyah kena janji dengan abang, walau apapun yang jadi lepas ni Safiyyah mesti redha.”

Safiyyah mengerutkan dahi, pelik dengan kata-kata suaminya.

“Abang ni, dari tadi Safiyyah tanya kita nak kemana. Tapi abang tak jawab pun.”

“Kan abang nak bagi Safiyyah hadiah ulangtahun perkahwinan kita.”

“Tapi cara abang cakap tadi macam pelik je.”

“Nak kahwin lagi ya?”

Suaminya tergelak kecil. Lucu dengan pertanyaannya.

“Kalau betul kenapa?”

“Safiyyah tak kisah tau. Nanti Safiyyah dapat payung emas di syurga.”

Suaminya tersenyum. Isteri yang solehah. Moga dia menjadi bidadariku di syurga.

“Abang ni kenapa senyum-senyum ni?”

“Dah la. Lagi cepat kita masuk ke dalam lagi cepat Safiyyah dapat hadiah dari abang.”

“Okey..”

Dia membuka pintu kereta. Kereta hitam berkilat  kepunyaan suaminya diparkir di tempat yang disediakan.

Di hadapannya tersergam sebuah bangunan canggih. Pintunya diperbuat daripada kaca yang dihiasi kalimah ‘Lailahaillallah… Muhamadurrasulullah..’.

Suaminya menggenggam erat tangannya, bagai tidak mahu dilepaskan.

****

Uwais memasukkan kad pintar kedalam ruang di tiang itu. Dengan pantas, lantai yang dipijak bergerak ke atas menuju ke tingkat 8. Usai sampai, dia menarik kembali kad pintarnya.

“Jom masuk sayang.”

Sekali lagi, dia memasukkan kad pintarnya ke dalam mesin pintu pejabat di hadapannya. Lantas terpapar namanya di atas skrin mesin itu. Beberapa minit kemudian, tertera perkataan ‘masuk’.

Dia memimpin tangan isterinya. Dengan yakin, dia memulas besi ringan yang terlekat di pintu pejabat itu.

Kelihatan seorang lelaki di dalam pejabat itu. Senyumannya mengisi ruang wajahnya. Seakan terpancar nur keimanan pada rautnya yang tenang.

“Selamat datang Uwais Al-Qarni. Hari ini kau menunaikan janjimu.”

Lelaki itu menekan remote di tangannya. Kerusi di hadapan meja kaca itu terbuka.

“Sila duduk..”

“Terima kasih.”

Kelihatan lelaki itu mencari sesuatu. Dia menyelongkar laci kaca yang terapung di atas, seperti kabinet kuno zaman 2008 yang diubah suai. Cantik. Gabungan seni lama dan baru.

“Isi maklumat diri dan zaujah. Err, siapa nama dia?”

“Nur Safiyyah binti Dr Tariq Ziyad.”

“Dr Tariq Ziyad? Macam biasa dengar. Subhanallah, kamu anak seorang pahlawan?”

Safiyyah hanya diam merendah diri.

“Bagus. Kamu menjejaki langkah ayahmu. Memang berdarah pahlawan.”

Uwais menekan-nekan skrin sensitif di hadapannya. Dia mengisi maklumat dirinya dan Safiyyah.

Safiyyah memerhati.

MISI JIHAD CINTA
Nama Mujahid : Uwais Al-Qarni bin Ammar
Nama Mujahidah : Nur Safiyyah binti Tariq Ziyad

Dan banyak lagi butiran yang diisi suaminya..

Hati Safiyyah berbunga riang. Inikah hadiah dari Uwais kepadanya? Subhanallah.. Ya Allah, aku syukur padaMu. Cita-citaku semakin dekat. Syahid menggoda rohku. Aroma syurga menggamitku.
Misi jihad cinta itu sudah lama diidam-idamkan. Peraduan Misi Jihad  yang dimenanginya itu menjadi hadiah yang amat bernilai. Peraduan ini melayakkan pasangan suami isteri sama-sama berjihad di tempat yang akan di hantar oleh ejen. Hanya 20 pasangan yang mendapat tempat dalam masa setahun. Misi ini adalah peluang terbaik untuk mencapai pangkat syahid.

“Sayang, mana kad pintar? Butiran peribadi perlu disahkan.”

Safiyyah lantas mengeluarkan kad pintarnya dari beg tangan elektronik hadiah dari arwah ayahnya.

“Ni bang..”

Butiran peribadi mereka kemudiannya disahkan. Laptop kecil sebesar tapak tangan itu diserahkan kepada lelaki di hadapannya.

Lelaki itu menekan-nekan sesuatu. Kemudian dia tersenyum.

“Kamu berdua dihantar ke Kota Toledo.”

****

“Bang..”

Uwais mendongak. Raut indah milik isterinya direnung. Sinar keimanan yang terlakar
menenangkannya.

“Ya?”

Safiyyah diam. Dia menunduk. Air jernih memenuhi kolam matanya.

“Kenapa ni? Safiyyah tak suka ya hadiah ni?”

“Abang.. Apa ni.. Bukankah itu yang kita tunggu-tunggu selama ni? Safiyyah pun tak sangka kita menang peraduan tu.”

“Habis tu.. Kenapa menangis?”

“Safiyyah tak sabar nak pergi sana. Lagi 2 hari kan bang..”

“Ya,abang pun tak sabar dah. Semakin dekat bau harum syurga..”

“Abang..”

“Ya?”

“Kita berjumpa lagi tak nanti di syurga?”

“Safiyyah sayang…”

“Ya bang..”

“Safiyyah nanti insyaAllah jadi Ainul Mardhiah abang di syurga. Jangan risau ya..”

“Safiyyah tak risau pasal tu. Safiyyah yakin kalau Safiyyah tak jadi bidadari abang pun, abang akan dapat bidadari yang lagi cantik dan solehah daripada Safiyyah.”

Kata-kata lembut isterinya membuatkan dia tersentuh. Subhanallah.. Aku sayang dia keranaMu ya Allah. Maka temukanlah kami di syurgaMu, jangan Kau pisahkan kami. Cukup hanya dia bidadari solehah yang telah kau sediakan untukku. Moga di dunia dan juga di syurga.

“Safiyyah.. Ingat tak dulu zaman kita sama-sama ditarbiyyah?”

“Ingat bang.. Masakan Safiyyah lupa. Taman yang mengajar Safiyyah erti perjuangan.”

“Dan abang tak sangka Allah pertemukan kita. Ingat tak dulu kita asyik bertengkar untuk capai
kata putus dalam mesyuarat? Kelakarnya masa tu. Isteri abang ni petah betul berhujah. Sampai kadang-kadang buat abang geram.”

“Laa.. Abang juga pesan pada kami, kami kena jadi Muslimat Tarbiyyah. Muslimat yang kuat menongkah ujian, tabah menghadapi dugaan, pantas berfikir, berana membantah kebatilan. Kan?”

“Ya sayang. Muslimat masa tu semua kuat belaka. Abang tengok macam kering hati je.”

“Terpaksa la bang. Kalau kami tak jadi macam tu, habis la perjuangan. Asyik-asyik merajuk, menangis. Nanti tak jadi kerja pulak.”

“Ya, abang faham.”

“Abang tengok la buktinya. Dah 3 orang ahli syura muslimat kita yang dah kotakan janji. Dah dapat pangkat syahid. Safiyah yang terlambat bang..”

Safiyyah pilu, janjinya belum dikota lagi. Dia sedang menunggu saat kemanisan itu. Nanti akan dia capai tangan sahabat-sahabatnya di syurga nanti. Sahabat-sahabat, tunggu kedatanganku. Hatinya menyeru.

“Sabar la. Tak lama lagi..”

****

Di khemah persiapan, Kota Toledo.

Malam itu mereka tekun. Hati dan jiwa betul-betul diserahkan kepada Allah. Setiap saat dipenuhi dengan solat-solat sunat, berzikir dan alunan bacaan Al-Quran.

Di atas sejadah itu, Uwais memegang tangannya. Erat dan kemas. Tampak air matanya mengalir.
Safiyyah juga menangis hiba. Tiada kata yang mampu diungkap. Bukan airmata sedih yang sedang mengalir. Tetapi armata bahagia, bahagia kerana bakal menemui Rabbnya.

“Nur Safiyyah.. Terima kasih kerana menjadi isteri abang selama ini. Safiyyah isteri solehah abang. Selama setahun kita kahwin, tak pernah sekali pun Safiyyah sakiti hati abang. Safiyyah gigih berusaha menjadi yang terbaik.”

Esakan isterinya semakin kuat. Hatinya pedih dalam gembira.

“Safiyyah, Allah temukan kita dalam lapangan perjuangan. Dan kita berjanji akan hidup dalam lapangan ini selamanya. Matlamat kita jelas, hidup mulia atau mati syahid. Sekarang di hadapan kita peluang, Safiyyah kena serahkan pergantungan bulat-bulat pada Allah. Bila kita sama-sama jalankan misi itu nanti, Safiyyah kena ingat Allah banyak-banyak. Jangan fikir pasal abang lagi, tinggalkan dunia. Ingat syahid.”

“Abang sayang Safiyyah kerana Allah. Abang minta maaf sebab tak dapat nak beri Safiyyah apa-apa ganjaran selama Safiyyah berkorban jadi isteri abang..”

“Abang, Safiyyah tak minta apa-apa pun.”

“Kita jumpa di syurga ya.. InsyaAllah..”

Dahi isterinya dikucup lembut.

“Abang ada satu permintaan.”

“Apa dia bang?”

“Baju tu. Nanti Safiyyah kena pakaikan untuk abang.”

“Ya,InsyaAllah. Abang pun ya.”

“Ya,InsyaAllah.”

Safiyyah bangun menuju ke hujung khemah, dia mengambil 2 pasang baju putih yang tergantung di atas tali. Tertulis perkataan “Peserta Misi Jihad Cinta” di belakang baju putih milik suaminya. Di bahagian hadapan sebelah kiri, tercatat nama Uwais Al-Qarni dan di sebelah kiri terdapat bendera kecil tertulis kalimah agung Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Juga pada bajunya.

“Assalamualaikum.. Akh Uwais..”

Terdengar suara member salam. Safiyyah merenung lembut wajah suaminya.

“Waalaikumsalam.”

Uwais membuka pintu khemah.

“Akh, sekarang sudah tiba masa kalian. Seruan jihad sudah dipalu.”

“Baiklah. Terima kasih.”

Uwais menutup kembali pintu itu. Dia pusing menghadap isterinya.

“Sayang, dah tiba masanya.”

“Ya.”

Lantas baju jihad disarungkan ke tubuh. Usai keduanya bersiap, Uwais memandang isterinya.

“Kita jumpa di syurga ya.”

“InsyaAllah bang. Sekejap lagi kita bertemu semula.”

****

Boomm..

Boommmm..

Boommmmm..

Dentuman demi dentuman terdengar. Mereka tekun melaksanakan misi jihad.

Bumm!

Di sebuah tempat, terdampar beberapa tubuh. Bajunya berlumuran darah. Ada peluru tertimbus di dada dan di sekitar tubuh mereka. Harum darah syuhada’, rautnya tersenyum megah. Antaranya adalah pemuda bernama Uwais Al-Qarni. Kini dia sudah mengotakan janjinya.

Bummm!

Dan, di sebuah tempat. Darah mengalir laju. Wanita berjilbab itu ditembak di belakang badannya. Peluru tertimbus dalam. Nur Safiyyah tersenyum.

Roh para syuhada’ itu berterbangan di langit. Uwais dan Safiyyah sudah mengotakan janji. Mereka bertemu di syurga.

Original writing by Masturah Abu Bakar.
21.Nov.08
http://www.islamcintaku.blogspot.com

February 18, 2009Permalink 3 Comments

CERIA

21-2

dsc_9455

20-2

Jumaat, Sabtu dan Ahad. Aku luangkan masa menuju ke Kg.Susu, Pahang. Program ziarah anjuran COMRADE UIAM. Kali ke dua aku menjejakan kaki di kampung ini. Sebuah kampung yang cantik, bersih dan nyaman.hehe…sebuah kenangan indah…….

February 16, 2009Permalink 2 Comments

Taraf Dunia

ss

_mg_2290

Pernahkah anda terfikir untuk bekerja di peringkat dunia?? Mungkin menjadi pengulas piala world, atau pilot yang selalu mengelilingi world, atau membuat sesuatu yang pelik sehingga nama anda termaktub dalam buku rekod world atau menjadi pengganas yang akhirnya nama anda disebut2 dalam demo jalanan di setiap world. Begitulah betapa terkenalnya anda jika berada pada tahap world.

Apakah kaitannya dengan gambar di atas tu? hehe…itulah pencapaian aku peringkat world. Baru-baru ni Serambi Maya telah di jemput untuk menjadi penangkap gambar secara rasmi dalam satu program anjuran Ummul Qura Society (salah satu persatuan di UIAM) Persatuan ini seperti mana yang di maklumkan sudah bertapak di UIAM sejak beberapa tahun yang lalu dan dikendalikan secara penuh oleh international students (pelajar2 arab+melayu dan arab tulin).

Peluang keemasan ini aku kongsi bersama seorang lagi crew  senior Serambi Maya (Hakim). Beliaulah yang banyak mengajar aku ilmu2 penangkapan ini. Semoga pengalaman ini menjadi pelajaran terbaik untuk aku. =)

February 16, 2009Permalink Leave a comment

Gerhana Bulan Penumbra

image044

(gambar yg aku sempat tangkap dari jendela bilik dengan menggunakan hp…huhu)

KUALA LUMPUR: Orang ramai di seluruh negara berpeluang menyaksikan gerhana bulan penumbra (separa) Isnin ini selama empat jam bermula 8.39 malam.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa), dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan gerhana itu mudah dilihat dengan mata kasar kerana 89.9 peratus daripada cakera bulan berada di bayang penumbra Bumi semasa fasa maksimum.

“Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama bulan melintasi bayang Bumi.

“Gerhana ini akan bermula dengan fasa satu (penumbra) pada 8.39 malam waktu Malaysia. Gerhana maksimum pula akan berlaku pada 10.38 malam dengan bulan akan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra Bumi (fasa empat) pada 12.38 pagi,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Angkasa akan menganjurkan Program Pencerapan Gerhana Bulan Separa di Planetarium Negara bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan fenomena ini menerusi beberapa buah teleskop yang disediakan.

Mereka yang tidak berkesempatan ke Planetarium Negara, siaran langsung boleh disaksikan di laman web www.angkasa.gov.my bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam. – Bernama
February 10, 2009Permalink 1 Comment

Hanya Secebis Kertas

image0051

Ini bukanlah tulisan aku. Bukan juga tulisan rakan sekelas aku. Tapi apa yang menariknya ialah cerita di sebalik kertas ini.

Jam di tangan menunjukan hampir pukul 11 malam. Suasana di cafe HS UIAM masih lagi meriah dengan pelbagai karenah pelajarnya. Maklumlah malam minggu. Aku yang kebetulan berada di kawasan itu dengan tujuan menemani seorang sahabat yang akan bermusafir turut memeriahkan suasana.

Sambil kami berbual dan menatap hidangan tengah malam kelihatan seorang pelajar perempuan sedang sibuk mengedarkan sesuatu dari meja ke meja yang lain. Sehingga lah sampai ke meja aku, secebis kertas diletakan. Riaksinya bersahaja. Seperti seorang pensyarah mengedarkan nota kepada pelajarnya.

Akhirnya dia pergi tanpa sebarang pesanan. Apa yang berlaku selepas itu?? Suasana di cafe terasa seperti ‘malaikat lalu’. Tapi kembali normal dalam beberapa saat.

Sungguh kagum akan semangat dan keberaniannya melakukan dakwah seperti itu. Subhanallah. Semoga usahanya diberkati Allah. Mungkinkah ini yang dikatakan tangan yang lembut menghayun buaian bisa menggoncang dunia. Tahniah.