[BEBELAN KEEMPAT] -cocos island-

Bismillahirahmanirahim.

Tanggal 17 Ogos yang lalu, seusai sahaja menunaikan solat taraweh kami terus berjalan menuju ke rumah Nek Iman untuk makan-makan semperna kepulangan cucunya berhari raya di rumah.

Aku,man dan juga Pak Saliha iaitu kembar kepada Haji Adam yang juga baru tiba dari Kattening Australia tiba awal di rumah Nek Iman. Kami terus mengadap makanan yang terhidang. Perut berbunyi ketika taraweh tadi kerana hanya memakan kuih serabi yang Nek Kayak siapkan.

Sedang asyik menikmati juadah makanan, kami dikejutkan dengan berita Nek Lukman iaitu adik Nek Kayak  baru sahaja meninggal dunia akibat sakit dalaman – lelah.

Selepas selesai makan kami terus bergegas ke sana. Kelihatan sudah ramai penduduk membanjiri rumah Nek Lukman. Aku bersalam salaman dengan tetamu di luar dan terus masuk ke dalam rumah.

Sekumpulan penduduk sedang mengikis sesuatu di suatu sudut. Kayu cendana katanya. Jenazah diangkat dan dibaringkan di tengah laman. Tiada langsung kelihatan penduduk kampung yang datang membacakan Yasin. Semuanya sibuk dengan pelbagai urusan. Yang di luar sibuk berbicara. Yang di dalam sibuk dengan kayunya dan sibuk juga memotong kain kapan di depan mayat dengan pelbagai lawak jenaka. Seolah olah tiada apa yang berlaku. hmmm…

Aku berfikir sendirian. Adakah salah jika aku membuka Quran yang sedang ada di tangan untuk membacakan Yasin. Adakah adat penduduk di sini menganggap membaca Yasin ke atas jenazah itu suatu yang menjelekkan.

Aku memberanikan diri juga membuka Quran dan membacakan Yasin dengan perlahan di  sisi jenazah, membiarkan masyarakat yang lain yang ‘sibuk’ dengan hal masing-masing. Rupanya selepas itu ada seorang lagi datang membacakan Yasin dan akhirnya Azfar anak Haji Adam turut datang membacakan Yasin. Kemungkinan buta huruf menyebabkan mereka malu untuk membacakannya.

Hampir jam 10 aku di sana. Pulang keseorangan ke rumah seperti biasa. Tiada orang lagi di dalam rumah. Lampu tandas rosak! Gulp!

Keesokan harinya aku terlewat bangun. Buat pertama kali. Terus saja bersiap dan minum untuk sahur lalu pergi ke masjid untuk subuh. Selesai solat aku dan Pak Saliha terus menuju ke rumah arwah Nek Lukman untuk melihat perkembangan yang seterusnya.

Aku mengambil keputusan untuk duduk memerhatikan dari luar sahaja. Haji Adam melarang aku merakam sebarang gambar kerana majlis ini bersifat agak sensetif. Aku melihat beberapa orang sedang memotong buluh untuk membuat sesuatu. Rupanya mereka sedang menyiapkan payung untuk si mati. Payung yang dibuat dari buluh itu di balut dengan kain putih pada pemegangnya dan juga payungannya dari kain putih. Kecil dan ringkas tampaknya.

Aku hanya duduk berbual bersama penduduk kampung yang lain. Malas memikirkan apa yang mereka lakukan di dalam. Kerana masa yang diambil sangat lama untuk menyiapkan tempat mandi jenazah.

Tiba-tiba salah seorang anak arwah Nek Lukman keluar sambil teresak esak dan membuat pengumuman supaya semua hadirin berdoa kepada ayahnya kerana mereka akan memandikannya tak lama lagi.

Tiba-tiba aku terdengar seperti suara orang menangis yang kuat dari dalam rumah. Aku terus berjalan masuk ke dalam. Jenazah masih lagi ditempat yang sama malam tadi. Rupanya, ahli keluarga diminta memberikan penghormatan yang terakhir sebelum jenazah dimandikan. Cara ratapan yang keterlaluan dari kaum perempuan membuatkan keadaan kurang menyenangkan. Tapi mungkin begitulah adatnya di sini.

Selepas itu jenazah terus diangkat untuk dimandikan. Aku hanya duduk di ruang tamu melihat mereka menyiapkan kain kapan untuk jenazah. Masih juga tidak kelihatan Quran mahupun orang yang membacakan Yasin.

Suasana yang agak santai dan juga lawak-lawak dari mereka yang sedang menyiapkan kain kapan menyebabkan keadaan tidak terlalu suram dan ‘menakutkan’. Tapi inikan kematian, moga-moga diberi kefahaman. hmm..

Apabila jenazah sudah siap dimandikan dan terus di pembaringan kain kapan aku hanyat melihat dari sisi kaki arwah bagaimana mereka menguruskannya. Pelbagai gaya dan adat yang tersendiri seperti menggunakan kain ihram di dalam kapanan, meletakkan cermin di hadapan muka jenazah seolah olah dia sedang melihat ketika bersolek, meletakkan bunga di telinga jenazah dan juga menyelit sekuntum bunga di kain kapannya.

Setelah selesai, jenazah terus dimasukan dalam keranda usungan yang sudah tersedia. Keranda usungan itu sudah dibuat menggunakan aluminium. Aku difahamkan jika dahulu mereka masih lagi memegang adat bahawa keranda usungan itu perlu dari buluh. Mungkin pemikiran mereka sudah terbuka jadi mereka menerima keranda besi sebagai ganti!

Aku yang masih kaget pertama kali melihat jenazah dikafankan sedimikan rupa diarah untuk mengimamkan solat jenazah. Kain putih dibentangkan, duit syiling diletakkan di atasnya sebagai upah, dan hanya satu saf! Sedangkan masih ramai tetamu di luar yang mungkin mereka tidak tahu jenazah akan disembahyangkan.

Mungkin hanya boleh bersembahyang di atas kain putih itu sahaja mengikut fahaman mereka.

Menggigil lutut aku mengadap keranda jenazah. Bukan kerana takutkan jenazah tetapi dalam keadaan yang serba terkejut dengan adat-adatnya aku jadi ‘blur’ seketika.

Usai sahaja solat keranda tadi diusung keluar dan mereka memegangnya di luar rumah. Haji Adam membacakan fatihah kemudian merenjis beras kuning ke atas keranda! Gulp~ Sebelum keranda itu dimasukan ke dalam van, ahli keluarga jenazah diminta untuk membuat pusingan di bawah keranda jenazah seolah-olah sedang bermain ‘nenek si bongkok tiga’…aku di fahamkan dengan membuat begitu keluarga lebih mudah untuk terus melupakan si mati. Gulp kali ke dua!

Akhirnya semua bergerak menuju ke hujung sudut pulau iaitu tempat perkuburan Islam Pulau Cocos.

Beberapa cara pengurusan pengkebumian dilihat sangat berbeza dengan masyarakat Islam Malaysia. Ketika jenazah di masukkan kedalam kubur dan disambut oleh empat orang lelaki di dalamnya sehelai kain putih dibentangkan di atas lubang untuk melindungi dari orang ramai melihat mereka merungkai ikatan kain kafan.

Aku hanya mengintai di suatu sudut. Setelah tali kain kafan di rungkaikan dan jenazah diletakkan, salah seorang dari dalam kubur tadi akan mengazankan si mati. Azan Subuh! Kain putih masih lagi menaungi atas kuburan saat azan dilaungkan. Kelihatan juga sebungkus baju si mati turut di letakkan di hujung kepala si mati.

Dan akhirnya ditanam dan ditalkinkan seperti biasa.

Semua masyarakat pulang ke rumah masing-masing untuk menyiapkan persediaan terakhir untuk lebaran pada esok hari.

-Misi Rahmatan lil Alamin-

August 24, 2012Permalink Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *