7 Ogos 2012
Hari ini genap seminggu aku berkampung di rumah Nek Qayak di Pulau Cocos ni. Jadual yang disusun oleh Persatuan Islam Pulau Cocos atas kendalian Pak Sofiya (Presiden) masih kurang mendapat sambutan dari kalangan anak-anak dan juga remaja. Manakala kaum ibu menunjukan aura positif untuk datang mempelajari fardhu ain.
Kini, masjid lama di pulau ini menjadi pusat untuk segala aktiviti keagamaan. Tiada lagi banyak imam yang berselisih faham seperti dahulu. Politik keimamannya nampak seperti sudah sepi. Haji Adam (Nek Arina) kini memegang jawatan imam utama tanpa ada penolong lain yang mahu tampil mengisi jawatan secara rasmi.
Walaubagaimanapun masyarakat yang berketerampilan masih bergilir-gilir menjadi imam untuk solat fardhu. Kesatuan ini menunjukan corak positif masyarakat di sini. Sementara masjid baru hampir 80 peratus siap, masyarakat di sini menunaikan ibadah teraweh mereka di masjid lama. Muslimin di Masjid Darul Aman dan muslimat di belakangnya Masjid Petunjuk.
Suasana ramadhan di sini jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia. Mungkin kerana kuantiti masyarakat di sini yang hanya hampir 500 penduduk bersamaan dengan 91 buah rumah menjadikan suasananya kelihatan agak suram. Mereka banyak berehat di rumah setelah penat bekerja di Pulau Panjang dan tempat-tempat lain.
Bazar Ramadhan hanya ada seminggu sekali sahaja. Juga tiada istilah bermain mercun di sini. Mungkin juga kerajaan Australia sangat tegas mengenai akta mercun ini.
Tidak dinafikan amalan bertukar juadah berbuka dari rumah ke rumah yang lain di sini nampak agak ketara. Mereka sangat suka membawa juadah-juadah untuk dihulurkan kepada jiran-jiran.
Malam ke-16 tempoh hari merupakan ‘malam ketupat’ bagi masyarakat di sini. Ia dinamakan begitu bersempena sudah setengah bulan Ramadhan berlalu. Menurut Haji Adam, malam itu juga untuk menyambut kedatangan lailatul qadar. Sangat awal..
Malam ketupat tersebut suasananya seperti hari raya. Ibu-ibu membawa juadah masing-masing dari rumah terutamanya ketupat untuk menjadi hidangan kepada hadirin yang hadir di masjid. Setelah selesai menunaikan solat teraweh, mereka akan duduk dalam bulatan untuk membaca doa selamat di bawah pimpinan tuan imam.
Ketupat dan rending beserta satu jag air diletakkan di tengah! Untuk simbolik keberkatan barangkali. Sayangnya aku tak bawa bersama camera ketika itu. Malam ketupat yang tak pernah aku fikirkan semeriah begitu. Ruginya alahaiiiii…..
Setelah selesai berdoa selamat, semua di jemput untuk menyerbu ke arah meja hidangan yang telah tersedia seperti buffet. Hampir 50 jenis juadah tersedia untuk santapan bersama. Sementara golongan muslimat hanya menunggu giliran untuk mengambil makanan setelah kaum lelaki selesai melilih juadah.
Begitulah kemeriahan ‘malam ketupat’ di sini.
Kuliah yang aku kendalikan setiap hari di masjid selepas maghrib cuba menekankan aspek-aspek supaya tidak berlebihan dan sebagainya. Kebanyakan mereka hanya beramal dalam bulan Ramadhan mengikut ajaran nenek moyang tanpa mengetahui hikmah disebaliknya. Aku sangat tidak selesa dengan corak teraweh yang super express di sini. Tercungap dibuatnya.Giliran aku imam teraweh jatuh pada minggu ‘malam pasung’. Nanti aku ceritakan apa itu pula malam pasung.
InsyaAllah, peluang untuk menyampaikan kuliah setiap hari digunakan sebaiknya untuk berkongsi kefahaman agar mereka lebih seronok dan memahami konsep Ramadhan yang sebenarnya.
InsyaAllah. Moga Allah permudahkan urusan! Amin.
[dengan berbekalkan laptop Hawa Mas Azmar yang kadang-kadang skrinnya menguji kesabaran membuatkan aku lebih bersyukur. 😛 yeke? ]
-Misi Rahmatan lil Alamin-
salam Pak Sazni.
apa khabar lappy saya? moga senantiasa sihat dan baik. rasa beruntung walaupun saya xdapat pegi sana, lappy dapat ikut berkhidmat di tempat orang. 😛
kalau dia sakit, tolong ubatkan ek. ada kan ubatnya di sana? dgn lappy saya tu mmg kena banyak bersabar. mengajar diri bersyukur. hee~
lupa lak nak tanya khabar Pak Sazni. moga senantiasa baik dalam menyampaikan dakwah di sana. moga sabar n syukur itu sentiasa ada.
wassalam.