Seorang raja berhajat menghadiahkan sesuatu kepada salah seorang pengawalnya.Lalu dia dipanggil mengadap ke istana.
“Paculah kuda kamu sejauh mana yang mampu. Sejauh mana kamu pergi selebar itulah tanah yang akan kamu miliki,”titah raja.
Pengawalnya tersenyum girang mendengar tawaran itu.Hatinya mula berbisik, “lagi jauh perjalananku,lebih luaslah tanah yang akan aku peroleh.”
Tanpa berfikir panjang,pengawal itu pun melompat ke atas kudanya. Dia memecut laju….dan laju bagaikan derasnya tiupan angin.Hajatnya mahu sampai sejauh mungkin agar keluasan tanah yang diperoleh lebih banyak.apabila kudanya penat,dibelasahnya binatang itu agar terus memecut.Lapar,dahaga dan letih langsung tidak dihiraukan.Dia tidak mahu berhenti rehat walau sesaat kerana perasaaan tamaknya berkata , “kalau berhenti rugi.”
Bagaimanapun kerana terlalu penat,kuda kesayangannya terjelepok jatuh lalu pengsan.pengawal itu jatuh tersepuk ke bumi. Badannya terlalu lemah dan langsung tidak berdaya untuk bangun. Digagahi juga,kerana keinginan untuk menambah keluasan tanah mengatasi segalanya.
Akhirnya di situ juga dia jatuh sakit dan terlantar keseorangan. Tanah yang luas beratus hekta yang menjadi miliknya tidak membawa erti apa-apa.
“kenapa aku terlalu tamak ?” Tanyanya yang ketika itu tersandar pada pangkal sebatang pohon..
“sekarang ajalku semakin hampir. Apakah aku masih perlukan tanah seluas ini? Padahal yang aku perlukan cuma sedikit tanah untuk mengambus jenazahku ” rungut pengawal itu kesal.
Kekesalannya bagaimana pun sudah terlambat!
Apa yang dialami oleh pengawal itu adalah sama dengan kehidupan kita. Setiap hari kita paksa diri untuk mencari duit sebanyak mungkin. Kita berusaha untuk mendapatkan kuasa dan meraih pengiktirafan.
Kita abaikan kesihatan,pelajaran,abaikan masa bersama keluarga. Kita langsung tidak menghargai keindahan alam ciptaan yang maha agung dan sering lupa pada tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Percayalah ……suatu hari nanti,kita akan sedar dari lena. Ketika itu barulah kita tahu bahawa perjalanan kita sudah terlalu jauh tersasar dari landasan.
Apa yang kita timbun selama ini langsung tidak membantu. Malah kita sebenarnya tidak memerlukan begitu banyak dalam hidup ini.
Sayangnya,ketika kita sedar ia sudah terlalu lambat. Kita tidak mampu memutar jarum jam ke belakang. Kita tidak mempunyai kekuatan untuk mengutip semula apa yang tercicir.
Ingatlah,kehidupan ini bukan untuk mengejar kekayaan semata-mata ataupun bermati-matian mendapatkan kuasa ataupun bertungkus-lumus mendapatkan pengiktirafan.
Kehidupan ini juga bukan sekali untuk kita menempa kekayaan sahaja.
Seharusnya kita bekerja untuk menikmati keindahan alam ciptaan tuhan ini.
Alangkah baiknya jika kehidupan ini diseimbangkan antara bekerja,belajar, dan bergembira. Barulah kita dapat membahagikan masa antara keluarga dan diri sendiri.
Orang lain tidak boleh membuat pilihan atau menentukan kehidupan kita.Hanya kita yang mampu mengenal pasti apa yang utama.Gembira adalah makna sebenar kehidupan.Bukanlah itu impian semua manusia.
Jadi rancanglah apa yang hendak kita buat dan nikmatilah keindahan alam semesta.Kehidupan ini terlalu rapuh dan singkat.Kesederhaan itulah kehidupan yang menyeronokkan.
Semoga bekalan amalan kita cukup untuk bahagia di sana nanti.
sumber :usrah.net