Kuala Lumpur – Karachi

.

9 September 2010 – Khamis

Jam menunujukan pukul 11 pagi. Suasana pagi itu di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tenang sahaja. Mungkin warga kota sudah berada di kampung masing-masing dan bersedia untuk menyambut hari raya yang ditetapkan pada esok hari.

.

Lain pula kisahnya dengan kami, sebagai sukarelawan yang dilantik oleh Global Peace Mission (GPM) ; Mejar (B) Shaik Md Noor Shaik Abdul Rahman dan Mohd Shazni Abdullah yang sedang bersiap sedia untuk berangkat ke Pakistan bagi menjalankan misi kemanusiaan banjir di sana. Turut bersama pagi itu pimpinan-pimpinan GPM seperti Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Encik Mohd Halimi Abd Hamid dan Encik Abd Halim Ismail yang datang untuk memberi semangat kepada kami.

.

Alhamdulillah, walaupun jadual penerbangan ditangguhkan selama satu jam ianya bukanlah menjadi satu masalah yang berat buat kami. Segala urusan di KLIA berjalan lancar. Pesawat MH 160 dari Kuala Lumpur ke Karachi meluncur laju meninggalkan KLIA lebih kurang jam 1.40 petang.

.

Kapten pesawat membuat pengumuman penerbangan di jangka mengambil masa 5 jam 10 minit. Wajah-wajah penumpang mula berseri-seri mungkin sedang membayangkan kampung halaman mereka dan suasana menyambut Syawal yang bakal tiba. Kebanyakan penumpang pesawat adalah warganegara Pakistan.

.

5 jam berpuasa di udara bukanlah suatu yang mudah. Cabaran apabila si manis pramugari mula menuangkan jus oren sejuk kepada penumpang lain. Sabar. Itulah yang mampu dilakukan. Keheningan di dalam pesawat tiba-tiba dikejutkan dengan teriakan seorang anak perempuan kecil. Tangisannya yang terlalu menjadi membuatkan hampir semua mata yang terlelap terganggu seketika. Kami hanya melihat telatah anak perempuan itu. Mungkin kerana ramai yang memandangnya dia terdiam sendiri.

.

Pengunguman kali kedua dibuat oleh kapten penerbangan, mengarahkan semua anak kapal duduk dan memasang tali pinggang keselamatan. Ini kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Pesawat MH 160 yang kami naiki berlegar-legar di ruang udara mencari ruang yang selamat kerana cuaca yang agak buruk sebelum dapat mendarat dengan selamat di Jinnah International Airport, Karachi jam 4.15 petang, 7.15 waktu tempatan.

.

Proses untuk keluar dari lapangan terbang Karachi sekali lagi diuji. Kami tidak dibenarkan memasuki Pakistan kerana tidak mempunyai visa! Kami diarah untuk bertemu seorang pegawai atasan imegresen untuk pemeriksaan lanjut. Jegilan mata pegawai mengecutkan sedikit perut kami yang terpaksa menerangkan secara terperinci tujuan sebenar kedatangan kami ini.

.

Walaupun pada asalnya kami hanya mengatakan bahawa tujuan asal datang ke sini untuk melawat sahabat handai dalam masa seminggu. Pegawai tersebut dengan tegas mengatakan kami tidak layak untuk masuk ke negaranya kerana tidak mempunyai visa. Kami cuba menerangkan misi dan tujuan sebenarnya selepas itu. Beliau meminta dari kami apa-apa dokumen jemputan atau surat kebenaran untuk misi yang bakal dijalankan.

.

Salinan surat kepada kedutaan Malaysia di keluarkan. Isi kandungannya Bahasa Melayu. Pegawai tersebut nampak agak berminat membaca surat tersebut. Mungkin logo Global Peace Mission menarik perhatiannya. Beliau hanya bertanya siapakah gerangan nama yang tertera pada surat itu. Apabila diterangkan kepadanya bahawa surat tersebut adalah untuk wakil duta Malaysia di Karachi, beliau mula berubah cara layanan.

.

Kami diarah mengisi borang visa. Walaupun tersangkut hampir 1 jam di bahagian imegresen kami di beri laluan istimewa selepas itu. Barang-barang keperluan tidak lagi perlu diperiksa. Alhamdulillah.

.

Suasana di Karachi petang itu agak muram. Hujan lebat yang menyambut kami menyebabkan jalan-jalan utama di kawasan tersebut agak sesak. Kenderaan berpusu-pusu dari semua arah. Dr.Syed yang menyambut kami bersama Dr.Halim dan seorang pemandu membawa kami menyelusuri jalan untuk menuju ke penginapan sementara kami.

.

Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pelbagai karenah kenderaan dan manusia yang sangat menyayat hati. Saat ketika kenderaan kami berhenti di lampu isyarat seorang perempuan tua mengetuk tingkap mengharapkan simpati. Kanak-kanak kecil juga kebanyakan melakukan kerja sedemikian.

.

Jalan-jalan raya kebanyakannya masih ditenggelami air. Kotor. Itulah perkataan yang sesuai digambarkan bagi negara yang sedang ditimpa bencana ini.

.

Setelah mengisi perut untuk berbuka, kami terus ke penginapan sementara di bahagian North Karachi. Belum sempat pun menghela nafas keletihan kami di beritahu bahawa sistem elektrik akan dimatikan bila-bila masa.

.

Bertemankan cahaya lilin, kami bersiap-siap untuk berbincang perancangan yang bakal dilakukan pada esok hari. Kami terpaksa berdepan dengan suasana begini walaupun agak terkejut pada mulanya. Kami juga di fahamkan elektrik di Karachi ini terpaksa dicatu 3 kali sehari. Sekali di waktu siang dan 2 kali pada waktu malam. Sekali catuan sekurang-kurangnya satu jam!

.

Untuk berdiskusi dengan hanya bercahayakan lilin dan haba panas di rumah menyukarkan pergerakan kerja kami. Setelah bersepakat, aktiviti malam ini ialah menguruskan bayaran makanan dan urusan mencari pengankutan bagi memudahkan perpindahan makanan dari kedai ke tempat penginapan sementara kami.

.

Alhamdulillah, 600 bungkus pek makanan berjaya dikumpulkan untuk diedarkan pada hari esok. Di waktu rakyat Malaysia seronok meratah lemang dan ketupat, masih ramai lagi saudara seagama kita di sini berbaring di kaki lima merenung jauh nasib mereka. Hari raya yang bakal disambut pada hari Sabtu di sini mungkin tidak seindah kita di Malaysia.

.

Semoga kita menjadi insan yang selalu bersyukur.

.

Salam Satu Syawal dari kami di Karachi, Pakistan.

[maaf tak dapat balas msg yang berpusu-pusu masok, maaf zahir batin]

p/s: gambar kan dimuat naik kemudian…internet pakistan beb bukan tanah melayu..huhu

September 12, 2010Permalink 1 Comment

One thought on “Kuala Lumpur – Karachi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *