Solat

Hasil nukilan Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj dalam bukunya “Menyingkap Peristiwa dan Keistimewaan Sirah Kehidupan Nabi SAW, Sahabat dan Ahli Hikmah” edaran PUSTAKA ILMI yang ditaip semula dengan kelajuan yang sederhana untuk peringatan bersama. Semoga bermanfaat.

.

Bagaimana Solat Itu Dikatakan Khusyu’?

.

Dikisahkan bahawa ada seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk sembahyangnya. Namun demikian dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya:

“Wahai Aba Abdurrahman (nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan sembahyang?”

Berkata Hatim:

“Apabila masuk waktu sembahyang, aku berwuduk zahir dan batin.”

Bertanya Isam:

“Bagaimana wuduk batin itu?”

Berkata Hatim:

“Wuduk zahir sebagaimana biasa, membasuh anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:

-Bertaubat.

– Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.

– Tidak tergila-gila dengan dunia.

– Tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia.

– Meninggalkan sifat bermegah-megahan.

-Meninggalkan sifat khianat dan menipu.

-Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata lagi,

.

“Kemudian aku pergi ke masjid, kukemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, malaikat maut berada di belakangku. Dan kubayangkan pula bahawa seolah-olah berdiri di atas titian Shiratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa sembahyangku kali ini adalah sembahyang terakhir bagiku ( kerana aku rasa akan mati selepas sembahyang ini), kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam sembahyang aku faham maknanya, kemudian aku ruku’ dan sujud dengan tawaduk (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku sembahyang selama 30 tahun.

.

Apabila Isam mendengar menangislah dia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

May 12, 2010Permalink Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *