Bermulanya Sebuah Episod

.

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan penyayang.

.

Lebih kurang 2.15 pagi waktu Malaysia kaki aku melangkah menuruni tangga bergerak di KLIA. Lambaian rakan-rakan seperjuangan masih beralun di sudut hati kecil. Sesekali menoleh ke belakang terasa sangat sayu. Niat dipasang, kata-kata dorongan keluarga dan rakan menjadi pegangan.” Bukan mudah untuk jadi seorang pejuang”, bisik hatiku melajukan lagi langkah ke kaunter pengesahan perlepasan.

.

3.15 pagi waktu Malaysia pesawat Kuwait Airways mula bergerak untuk meninggalkan KLIA. Bukan aku tak pernah naik kapal terbang sebelum ini, tetapi aura kali ini berlainan sekali. Mungkin ini kali pertama aku meneroka  perjalanan jauh seorang diri di dalam pesawat asing. Ia menjadikan aku seperti buat-buat matang dalam menguruskan hal-hal penerbangan ini. Sesekali terdengar suara pemandu kapal terbang di suatu sudut, aku tersenyum sendirian. Aku hanya dapat mendengar denagn jelas ayat yang akhir je iaitu ‘syukran’ .hehe.

.

Penerbangan mengambil masa 7 jam lebih untuk sampai ke Kuwait. Bayangkan. Duduk je di tempat duduk pramugari dah sediakan aku bantal dengan selimut yang gebu. Wahh..sedikit teruja. Malam yang indah dapat tidur di ruang angkasa. Hehe. Sangkaan aku meleset. Baru je nak lelap lampu di buka. Hidangan pertama disediakan. Nasi lemak? Roti canai? Tak dapat la..Aku pun tak tau nama makanan yang aku makan tu. Ala-ala kat kyros kebab tu la. Hehe. Dah kenyang. Nak rehat sikit datang lagi kopi dengan teh. Huhu. Layan je la. Hidangan terakhir aku siap boleh pilih lagi ‘pie apple or omelet sir?’ tu hidangan utama la. Tapi atas dulang yang dia bagi meriah. Roti. Jem. Jus. Fuhhh… dah….abes bab makan.

.

Jam di tangan aku pukul 11.30 pagi waktu Malaysia. Tapi jam di tangan orang Kuwait pukul 6.30 pagi. Kapal terbang yang aku naiki mendarat dengan jayanya di lampangan terbang Kuwait. Aku melangkah keluar dari pesawat. Seperti ayam katik masuk ke kandang zirafah. Bayangkan. Hehe.Persinggahan di Kuwait ini hanyalah untuk pertukaran pesawat yang akan menerbangkan aku ke bumi Syria. Usai sahaja menunaikan solat subuh di surau aku mula mencari arah. Perlukah aku mengangkat beg? Perlukah aku dapatkan cop? Perlukah aku dapatkan mana-mana pengesahan sebelum pertukaran penerbangan? Di sini lah episod aku menjadi bola. Jumpa kaunter A disuruh ke B, jumpa B disuruh ke balai berlepas, jumpa balai berlepas disuruh ke kaunter pengesahan. Alangkah indahnya pengalaman berkomunikasi.

.

Ketika aku menaip catatan ni pun seorang arab berpakaian ala-ala imam Masjidil Haram duduk di sebelah aku. Katanya mahu ke Syria juga. Aku hanya tersenyum. Dia melihat penuh minat aku menaip. Mungkin kagum tulisan yang tak ada titik atau baris atas,bawah dan sukun. Hehe. Yang penting bau pak arab ni macam kedai minyak wangi kat bukit bintang. Perghhh….cuci hidung pagi ni.

.

Jam 9.25 waktu Kuwait aku berlepas ke Syria. Penerbangan mengambil masa 2 jam 15 minit untuk tiba di Lapangan Terbang Damascus. Alhamdulillah, segala urusan di lapangan terbang itu berjalan lancar walaupun agak cemas ketika hendak mendapatkan cop kebenaran masuk. Alhamdulillah.

.

Cuaca di Syria pagi itu amat baik. Sinaran matahari memancar menerangi bumi. Walaupun agak terik, bayu yang berhembus di pipi kadang kala terasa seperti berada di dalam Giant. Memang sejuk. Alhamdulillah, ketibaanku disambut mesra seorang rakanku.  Jam 11 pagi waktu Syria, lebih kurang pukul  7 malam waktu Malaysia aku berada dalam kesesakan kota Damsyik atau dikenali  juga sebagai Damascus, ibu negara Syria.

.

Benarlah kata orang, tabiat arab memang suka membunyikan hon ketika memandu. Sangat meriah,  tetapi agak serabut memandangkan jalan rayanya yang tidak sistematik. Memang membingitkan telinga dan menyakitkan mata melihat keadaan itu. Aku terus dibawa kerumah rakanku itu untuk berehat sebentar.

.

Selepas menunaikan solat asar jam 2.30 petang, aku dan rakan keluar untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat di sini. Berjalan kaki menjadi pilihan kami untuk meneroka dengan lebih dekat. Menyusuri beberapa kedai dan pasar, melihat pelbagai karenah manusia sungguh unik sekali. Budak-budak kecil di sini memang sudah diajar berdikari. Mereka memang cepat belajar kata rakanku.

.

Aku dibawa menziarahi makam Nabi Allah Yahya, makam Salahuddin Al-Ayubi, makam Saidina Husain, makam sahabat dan lain-lain. Nanti aku akan ceritakan dengan lebih terperinci tempat-tempat tersebut. Mungkin ini hanyalah ziarah pemanas badan.

.

Pulang sahaja ke rumah malam itu, selepas menunaikan solat isyak jam 6.30 petang aku terus melabuhkan diri di tempat beradu. Sekarang adalah musim sejuk. Tidur yang sangat panjang  memandangkan subuh di sini lebih kurang jam 5 pagi. Dalam kedinginan subuh yang amat sangat rakan-rakan ku bersiap seperti  hendak bermain salji pakaiannya tetapi sebenarnya mereka ke masjid untuk bertalaqi atau dengan bahasa melayunya menuntut ilmu secara langsung dari syeikh-syeikh yang hebat di sini.

.

Nantikan episod seterusnya………………………………

.

Misi Rahmatan lil Alamin

January 12, 2010Permalink Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *