MANUSIA yang lemah hanya mementingkan diri sendiri. Baginya orang lain belakang kira, langsung tidak diendahkan.
Antara jenis pentingkan diri ialah tidak mahu mendengar suara orang di sekitarnya. Cuma yang dia mahu dengar ialah suara nafsu dan keinginannya saja, walaupun kadangkala orang menderita disebabkan sikapnya.
Suara luar, rintihan yang di sekelilingnya tidak diendahkannya. Baginya itu semua tidak penting.
Nabi Sulaiman a.s sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba’.
Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya melaksanakan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan!
Pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menyentuh hati golongan dipimpin. Tetapi sebelum kita dapat menyentuh yang dipimpin, kita semestinya menyelami apa ada dalam hati mereka.
Hendak menyelami hati mesti mendengar dulu suara mereka. Semestinya kita menjadi pendengar yang baik.
Dalam kehidupan seharian antara suara yang perlu kita dengar ialah:
1. Suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita.
Luangkan masa mendengar sama ada pujian atau teguran. Tunjukkan wajah yang simpati dan tindak balas.
Hindarilah wajah yang dingin kerana ia akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi dengan kita. Banyak orang yang suka ceritanya didengari daripada memenuhi permintaan.
2. Suara pelanggan. Kepada yang ingin berjaya luangkanlah waktu untuk mendengar suara pelanggan (terutama peniaga dan pemberi perkhidmatan) dan mendengar suara umat (bagi golongan pendakwah atau pakar motivasi) kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka ini.
Apabila suara mereka mengandungi makian hadapilah dengan positif dan sangka baik serta cuba perbaiki diri.
Jika suara mereka mengandungi pujian pertahankan pujian dengan mempertingkatkan kualiti.
3. Suara lawan. Suara lawan memang sukar untuk diterima, malah kadang-kadang disambut dengan lawan juga.
Bagi mereka yang bijaksana, suara lawan sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka kita mengetahui lemah kita, bahkan yang cacat akan diperbaiki.
Kata bijak pandai ‘apabila lawan kita menceritakan aib kita sebenarnya kita patut berterima kasih kerana dia bersusah meluangkan masa dan fikirannya menasihati kita’.
Cuba fikirkan, berapa banyakkah waktu yang kita pernah guna untuk memperbetulkan dan muhasabah diri kita?
Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka di sekitar. Nanti mereka juga akan mendengar perasaan kita.
SUMBER : Bersama Mohd Zawawi Yusoh (Harian Metro)